Harian Metro

‘Ramai doa saya sembuh di Makkah’

-

Kuala Lumpur: “Syukur alhamdulil­lah, Allah SWT permudahka­n segala urusan ibadat umrah saya sepanjang berada di Tanah Suci Makkah, baru-baru ini.

“Syukur dapat beribadat dengan tenang dan istiqamah kerana Allah SWT menjaga tahap kesihatan saya sebaiknya.

“Alhamdulil­lah, saya tak demam atau diuji dengan sakit lain. Paling puas, saya dapat berjalan membuat tawaf hingga selesai,” kata pelakon dan pelawak terkenal, Ebby Yus, 55.

Terdahulu, Ebby atau nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid berangkat mengerjaka­n umrah ke Makkah bersama seorang kenalan pada 28 Januari hingga 8 Februari lalu.

Ditanya mengenai doa dipintanya, Ebby berkata, dia memohon Allah SWT menjaga dirinya untuk sentiasa dalam istiqamah serta memberikan kesihatan yang baik.

Mengakui keterujaan­nya pertama kali melihat Kaabah depan mata, Ebby berkata, sukar untuknya mengungkap­kan perasaan sebenar.

“Sebelum ini, saya lebih banyak mendengar perkongsia­n cerita orang, tapi bila diri sendiri diberikan Allah peluang besar ini, saya hanya mampu bersyukur.

“Dapat juga saya jejak kaki ke Tanah Haram iaitu Madinah dan Makkah untuk mengerjaka­n umrah yang juga nikmat diberikan Allah SWT buat saya,” katanya.

Berkongsi pengalaman­nya, Ebby berkata, dia tidak menyangka masalah kesihatan begitu mendapat perhatian rakyat Malaysia.

“Sungguh ramai rakyat Malaysia yang saya temui ketika umrah dan mereka begitu prihatin dengan keadaan kesihatan saya.

“Hati sayu dan hiba, apabila kebanyakan mereka yang ditemui memberitah­u mendoakan semoga kesihatan saya pulih.

“Terima kasih tidak terhingga di atas titipan doa yang baik-baik ini. Saya juga ucapkan terima kasih atas kesudian menghulurk­an sumbangan ikhlas,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia