Saksi hanya sedar kerosakan selepas tinggalkan tempat kejadian
Shah Alam: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Koroner di sini, bahawa dia hanya menyedari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dipandunya mengalami kerosakan teruk apabila berjaya meninggalkan tempat kejadian dan tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.
Pemandu van EMRS Ahmad Shahril Othman, 36, berkata, setibanya di IPD berkenaan, dia mendapati ada seorang lagi anggota bomba lain yang bertugas dengan jentera
(FRT) pada hari kejadian berada di dalam vannya.
Saksi ketiga inkues itu berkata demikian ketika menjawab soalan pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah pada hari kedua inkues kematian Muhammad Adib.
HAMDAN: Sampai di IPD Subang Jaya, apa berlaku?
SHAHRIL: Saya ‘park (parkir)’ di pondok pengawal, saya turun, saya pusing belakang, saya nampak kerosakan van EMRS sangat-sangat teruk. Tiba-tiba Azim (Mohd Hazim Mohd Rahimi) turun dari belakang van EMRS pada masa itu. Saya perasan pintu sisi sebelah kiri tercabut dan tayar belakang kiri pecah dan hanya tinggal rim.
HAMDAN: Apa lagi kamu perasan?
SHAHRIL: Cermin sisi belakang, dekat pintu sisi, pecah. Cermin sisi tercabut.
Menurut Ahmad Shahril, selepas tiba di IPD berkenaan, dia menyedari ada beberapa helmet (topi keledar) berwarna merah dan kelabu di dalam van berkenaan.
“Saya kemudian tanya Azim, Adib mana? Dalam keadaan cemas dan muka pucat, dia jawab yang dia pun tak tahu.
“Lebih kurang satu minit, jentera FRT pun sampai,” katanya.
Saksi sama berkata, dia tidak mengetahui bagaimana dia dapat memandu van berkenaan dalam keadaan ia rosak teruk.
“Keadaan saya panik, saya rasa macam dah nak mati,” katanya.
HAMDAN: Sampai di IPD, apa berlaku?
SHAHRIL: (Penyelia) Badrol membuat panggilan baris secara tak formal, saya tanya takut-takut Adib ada dalam jentera FRT, tapi Adib tak ada.