Tak mahu lengah bicara
Pihak pendakwaan kemuka permohonan Mahkamah Rayuan segera dengar rayuan Najib
Pihak pendakwaan akan mengemukakan permohonan untuk Mahkamah Rayuan segera mendengar rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung penarikan balik sijil pindah tujuh kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC).
Perkara itu dimaklumkan Peguam Negara, Tommy Thomas di Mahkamah Tinggi di sini, ketika kes itu disebut semula hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Tommy berkata, pihaknya akan menulis surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop berhubung perkara itu.
“Kami tidak mahu melengahkan perbicaraan kes ini. Kami memohon pengurusan kes ditetapkan 22 Februari depan bagi membolehkan pihak pembelaan memaklumkan kepada mahkamah berhubung perkembangan kes.
“Kami memohon perbicaraan yang sudah ditetapkan hari ini (semalam) dilapangkan manakala tarikh pada 25 hingga 28 Februari dan 4 hingga 29 Mac dikekalkan. Kami yakin rayuan berhubung kes itu boleh diputuskan lebih awal,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Februari untuk pengurusan kes.
Najib hadir diwakili peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah dan Harvinderjit Singh.
Mahkamah Rayuan kelmarin membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram berhubung dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd (SRC) yang sepatutnya bermula semalam.
Mahkamah dalam keputusannya membenarkan kes ditangguhkan bagi membolehkan rayuan Najib berhubung penarikan balik sijil pindah tujuh kes membabitkan dana SRC International itu didengar dan diputuskan terlebih dulu.
Pada 4 Julai tahun lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk kepentingan peribadi membabitkan RM42 juta berkaitan syarikat SRC International Sdn Bhd.
Pada 8 Julai tahun sama, beliau kemudian didakwa dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana sama.