Harian Metro

Sita barang milik wanita tilik nasib

-

Kuala Lumpur: Seorang wanita warga India dikesan menjadikan kaki lima di Jalan Lebuh Ampang, di sini, sebagai tempat menilik nasib dengan menyusun kain kuning berbentuk bunjut.

Keadaan itu didakwa menimbulka­n rasa tidak selesa dalam kalangan orang ramai yang membuat aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tindakan lanjut.

Susulan itu, sepasukan anggota penguat kuasa DBKL merampas dan menyita barang milik wanita berusia 50 tahun terbabit dalam operasi, kelmarin.

Pengarah Penguatkua­sa DBKL Azman Mahmood berkata, tindakan diambil selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam yang tidak selesa dengan tindakan wanita terbabit.

“Siasatan mendapati wanita berkenaan sudah dua bulan melakukan kerja menilik nasib di kaki lima berkenaan.

“Dia dipercayai mengenakan bayaran antara RM20 hingga RM50 kepada pelanggan yang ingin menggunaka­n khidmatnya,” katanya.

Katanya, tindakan wanita berkenaan menyalahi undang-undang kerana menghalang kaki lima di kawasan berkenaan.

“Notis mengikut Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dikeluarka­n terhadap individu terbabit dan barangan miliknya turut disita,” katanya.

Dalam operasi berasingan, DBKL merobohkan empat gerai tidak mempunyai lesen perniagaan selain membuat halangan.

“Hasil maklumat diterima, kami membuat semakan terhadap semua deretan gerai di Jalan Pasar Pudu berkenaan dan semua gerai terbabit tidak mempunyai lesen perniagaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia