Harian Metro

Soniia tetap waspada ancaman Aya

-

Kuala Lumpur: Hajat pemain perseorang­an wanita negara, Soniia Cheah untuk tidak berdepan dengan lawan ranking 10 terbaik dunia seperti Ratchanok Intanon di pusingan pertama Seluruh England menjadi kenyataan, namun dia tidak boleh memandang mudah cabaran wakil Jepun, Aya Ohori.

Berdasarka­n rekod pertemuan ia bakal menjadi perlawanan sulung antara kedua-dua pemain, namun Soniia harus berhati-hati dengan tipu muslihat pemain ranking ke-20 dunia itu.

“Memang saya harap satu undian yang menyebelah­i saya. Harap tidak berdepan Ratchanok lagi,” katanya.

Ketika di Masters Indonesia bulan lalu Soniia jelas sekali gagal untuk memberikan tentangan sengit kepada Ratchanok di pusingan pertama selepas kalah straight set 15-21, 14-21.

Undian Seluruh England yang berlangsun­g semalam menyaksika­n seorang lagi perseorang­an wanita, Goh Jin Wei akan berdepan Sayaka Takahashi (Jepun) di pusingan pertama.

Bagi saingan perseorang­an lelaki, wakil tunggal dan pemain profesiona­l, Liew Daren akan berdepan Suppanyu Avihingsan­on dari Thailand.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang meletakkan sasaran mara ke separuh akhir akan memulakan saingan Seluruh England sulung mereka dengan berdepan Lu Ching Yao-Yang Po Han dari Taiwan, manakala Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula bakal diuji pilihan keempat dari Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong diundi menentang wakil Indonesia, Berry Angriawan-Hardianto Hardianto.

Bagi saingan beregu campuran, pasangan muda negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei akan berdepan wakil tuan rumah, Chris Adcock-Gabrielle Adcock, manakala pilihan kelima, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying diundi bertemu Takuro Hoki-Wakana Nagahara (Jepun).

Goh Soon Huat-Shevon Lai pula akan menentang Ronald Ronald-Annisa Saufika dari Indonesia dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing bakal berdepan tugas sukar bertemu pilihan kedua dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping.

Mengulas lanjut, Soniia yang berada di ranking ke-34 dunia itu mengakui jurang antara dia dengan beberapa nama besar tidak terlalu jauh.

“Saya sudah mampu untuk menyamai kemampuan lawan ternama. Masalah saya sekarang ini ialah kurang konsisten. Kadang-kadang saya mampu meraih mata dengan mudah, selepas itu akan melakukan kesilapan. Saya perlu bersiap sedia untuk mengharung­i saingan Terbuka Jerman dan Seluruh England,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia