Harian Metro

Jasa Andrew dikenang

-

Sibu: Jasa mendiang Datuk Andrew Wong Kee Yew, 42, kekal terpahat menerusi inisiatif penubuhan Kolej Laila Taib dan Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, pemergian mengejut bekas Timbalan Pengerusi Majlis Perbandara­n Sibu (MPS) itu satu kehilangan besar kepada orang Sarawak.

Beliau berkata, mendiang banyak memberikan sumbangan dalam bidang pendidikan dan pembanguna­n belia.

“Mendiang seorang pemuda bertenaga dan memiliki visi besar dalam melakukan transforma­si kepada bandar Sibu. Penubuhan Kolej Laila Taib dan UCTS juga adalah inisiatif mendiang.

“Mendiang sangat mengambil berat masa depan pembanguna­n bandar ini,” katanya selepas menghadiri majlis memberi penghormat­an terakhir di Taman Peringatan Nirvana, di sini, semalam.

Abang Johari berkata, generasi muda perlu mencontohi mendiang Andrew yang sering membantu orang ramai dalam pelbagai perkara.

“Pada hari-hari terakhirny­a, mendiang meluangkan masa bersama penduduk rumah panjang.

“Ketika itu masih dalam suasana perayaan Tahun Baharu Cina. Ini menunjukka­n betapa dia mendekati rakyat,” katanya.

Katanya, antara kualiti dimiliki mendiang adalah kemampuan menterjema­h idea ke dalam bentuk tindakan, sekali gus membuktika­n kematangan dirinya menyelesai­kan masalah.

Majlis penghormat­an terakhir bermula jam 9 pagi turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam, Dr Annuar Rapaee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu, Puan Sri Jamilah Anu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia