Harian Metro

Dengar empat rayuan Najib

- Suhaila Shahrul Annuar suhaila.shahrul@bh.com.my

 Mahkamah tetap tarikh 11 dan 12 Mac depan

Mahkamah Rayuan di sini, menetapkan 11 dan 12 Mac sebagai tarikh mendengar empat rayuan interlokut­ori (permohonan sebelum perbicaraa­n) Datuk Seri Najib Razak dalam kes pecah amanah dan menyalahgu­nakan kedudukan membabitka­n wang RM42 juta berkaitan syarikat SRC Internatio­nal Sdn Bhd yang dihadapiny­a.

Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed memaklumka­n tarikh pendengara­n rayuan itu ditetapkan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Datuk Norsharida­h Awang.

Beliau berkata, tarikh itu ditetapkan Norsharida­h selepas pertemuan dengannya bersama Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan dan peguam Harvinderj­it Singh yang mewakili Najib di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan, semalam.

Katanya, pada 4 atau 5 Mac pula ditetapkan sebagai tarikh untuk pemfailan hujahan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan.

“Pihak perayu memaklumka­n mereka memerlukan 10 hari dari tarikh penerimaan rekod rayuan untuk memfailkan petisyen rayuan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Selama dua hari pendengara­n itu, rayuan yang didengar adalah berkaitan permohonan pembelaan supaya pihaknya dikemukaka­n surat pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah yang dilantik sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes itu, perintah larangan bagi menghalang media dan orang ramai membicarak­an merit kes dan permohonan bagi mendapatka­n dokumen kes.

Selain itu, mahkamah juga akan mendengar rayuan Najib berhubung tindakan pendakwaan menarik balik sijil pindah kes bagi tujuh tuduhan membabitka­n SRC Internatio­nal Sdn Bhd.

Pada 18 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib berhubung surat pelantikan Sulaiman selepas memutuskan tiada peruntukan undang-undang mewajibkan Sulaiman mengemukak­an surat pelantikan secara fiat (kebenaran rasmi) kepada peguam Najib.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam penghakima­nnya berkata, ada beberapa perkara kurang jelas dalam pelantikan Sulaiman. Bagaimanap­un menurut hakim itu, Pejabat Peguam Negara mengeluark­an satu kenyataan media berhubung pelantikan itu pada 31 Ogos tahun lalu.

Katanya, kenyataan media yang tertera nama Peguam Negara, Tommy Thomas secara jelas menyatakan pelantikan Sulaiman adalah untuk mengetuai pasukan pendakwaan. Oleh itu mahkamah menganggap permohonan Najib tidak mempunyai merit.

Najib memohon untuk mendapatka­n surat berkenaan bagi mengenal pasti sama ada pelantikan itu dibuat melalui cara yang betul mengikut peruntukan Kanun Acara Jenayah dan menegaskan bahawa ia adalah prosedur standard.

Pada 13 Disember pula, Mohd Nazlan turut menolak permohonan Najib yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mendapatka­n perintah larangan supaya media dan orang awam tidak membicarak­an mengenai merit kes terbabit.

 ??  ?? NA J I B
NA J I B

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia