Harian Metro

Melaka United perlu fokus

- Nazri Abu Bakar sukanteam@nstp.com.my

Melaka: Jurulatih Melaka United (MU), Zainal Abdin Hassan menuntut fokus yang tinggi dalam kalangan pemainnya ketika berdepan ujian getir Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, esok.

Baginya, berdepan skuad berpengala­man dan matang terbabit bukan suatu tugas mudah, justeru fokus setiap pergerakan bola dan lawan perlu dipertingk­at selepas dua pertemuan sebelum ini.

Menurutnya, setiap pemain yang bakal diturunkan perlu mengelak melakukan kesilapan, menutup setiap ruang serta bijak mengatur pergerakan lancar tanpa kehilangan bola.

Katanya, pasukan lawan pastinya turun dengan reputasi dan semangat juang tinggi, begitu juga dengan skuad Hang Tuah selepas masing-masing meraih dua kemenangan awal dalam Liga Malaysia musim ini. ”Justeru, pemain perlu agresif dengan corak permainan yang sudah diterapkan dan mengelak melakukan sebarang kesilapan untuk mencipta kelebihan dalam mencetak jaringan.

”Malah, bermain di gelanggang sendiri perlu dimanfaatk­an sepenuhnya untuk meraih kemenangan. Sokongan padu penyokong MU juga penting diterjemah­kan dalam perlawanan kelak,” katanya.

Sementara itu, beliau positif melihat perkembang­an akhir dua pemain skuad Hijau Putih yang mengalami kecederaan sebelum ini.

Zainal berkata, pemain tengah, Darko Markovic berkemungk­inan besar diturunkan, manakala bek kiri, Ahmad Khuzaimi Piee belum pasti diturunkan selepas terpaksa diusung keluar susulan mengalami kecederaan serius pada perlawanan menentang PKNS di Stadium Shah Alam, minggu lalu.

Walaupun Khuzaimi sudah menjalani latihan, Zainal melihat pemain itu masih memerlukan sedikit masa untuk pulih sepenuhnya.

Namun jika tahap kecergasan­nya berada dalam keadaan terbaik menjelang perlawanan, tidak mustahil khidmatnya akan kembali dipertaruh­kan bagi memperkuat­kan lagi skuad berkenaan.

 ??  ?? ZAINAL
ZAINAL

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia