Harian Metro

‘JDT banyak buat silap babak pertama’

- Malik Muhamad sukanteam@nstp.com.my

Kuala Terengganu: Pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa berang dengan prestasi anak buahnya yang gagal mempamerka­n belang sebenar ketika bertemu Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.

Pengurus kelahiran Argentina berusia 38 tahun itu menyifatka­n anak buahnya banyak melakukan kesilapan terutama pada babak pertama, sekali gus dihukum tuan rumah dengan jaringan seawal minit keenam menerusi Khairul Izuan Rosli.

“Kami datang ke Terengganu untuk meneruskan rentak kemenangan ketiga berturut-turut, tapi kami tidak berjaya, saya tidak begitu gembira dengan keputusan malam ini (kelmarin).

“Pemain kami tidak bersungguh-sungguh, pada babak kedua kami tukar corak permainan dan hampir menang selepas berjaya jaringkan dua gol, tapi kesilapan berlaku lagi sehingga lawan berjaya meledak gol penyamaan pada minit terakhir.

“Justeru, kami perlu perbaiki lagi dan kekalkan rentak hingga akhir,” katanya.

Pada aksi itu, skuad Harimau Selatan patut pulang ceria dengan tiga mata selepas mendahului 2-1 sehingga minit ke-88 hasil jaringan Safawi Rasid dan Diogo Santo. Bagaimanap­un, kealpaan pertahanan membolehka­n tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Kamal Azizi Zabri pada minit ke-89 untuk keputusan kekal 2-2.

Mengulas mutu pengadilan yang seolah-olah memihak kepada JDT selepas pengadil dari Pulau Pinang, Muhammad Nazmi Nasaruddin menghadiah­kan dua sepakan penalti kepada skuadnya, bekas pemain JDT itu enggan mengulas.

“Saya tidak mahu cakap apa-apa mengenai pengadil kerana ini bukan tempat saya untuk bercakap mengenainy­a. Lagipun, ia bukan keputusan saya, namun inilah yang perlu ditingkatk­an dalam Liga Malaysia (Liga-M),” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia