Piatek pacu kebangkitan Milan
Rome: Krzysztof Piatek menghasilkan jaringan cantik dan menggandakan jaringan ketika membantu AC Milan bangkit menewaskan Atalanta 3-1 untuk terus kekal berada di landasan memburu tempat di Liga Juara-Juara musim depan.
Piatek sudah meledak 17 gol Serie A musim ini, hanya dua di belakang Cristiano Ronaldo dari Juventus.
Bintang Poland itu setakat ini menjaringkan enam gol dalam empat perlawanan untuk Milan sejak berpindah
(gambar)
dari Genoa pada jendela perpindahan Januari bagi menggantikan Gonzalo Higuain.
Selepas Remo Freuler meletakkan Atalanta di depan pada minit ke-33, Piatek menyamakan kedudukan dengan rembatan voli kaki kiri di minit akhir babak pertama permainan.
Bermula dengan hantaran Ricardo Rodriguez dari kiri padang, Piatek menguis bola melepasi pertahanan sebelum merembat tanpat melihat ke arah gawang.
Pemain sayap Turki, Hakan Calhanoglu meletakkan Milan di depan dengan percubaan minit ke-55 sebelum Piatek menanduk masuk bola sepakan sudut untuk mengesahkan kemenangan.
Milan kendalian Gennaro Gattuso kekal di tangga keempat liga pada 42 mata, empat mata mengatasi Atalanta, Roma dan Lazio.
Kemenangan itu cukup sempurna buat Milan dalam persiapan mereka menghadapi Atletico Madrid bagi aksi 16 terakhir Liga Juara-Juara. – AFP