Harian Metro

Akmal Rizal angkat kaki

-

 Jurulatih B-17 Singa Utara perjelas isu 3 bulan tanpa gaji

“Saya belum terima apa-apa bayaran gaji sejak memulakan sesi kejurulati­han bersama PFA sampai sekarang,” kata jurulatih skuad bawah 17 tahun (B-17) Singa Utara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengenai tindakanny­a meletakkan jawatannya selaku jurulatih skuad itu selepas hanya tiga bulan membimbing pasukan.

Akmal Rizal berkata, dia akan menyerahka­n surat perletakan jawatan selewatnya Selasa ini dan hala tuju pasukan yang dibimbingn­ya itu akan ditentukan sendiri oleh Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Katanya, faktor utama peletakan jawatannya berikutan gaji yang tidak dibayar oleh PFA kepadanya sejak 1 Disember lalu.

“Sejujurnya, saya tak nampak hala tuju PFA dalam menguruska­n skuad bawah 17 negeri dan segalanya berubah sama sekali tidak mengikut perancanga­n yang dimaklumka­n pengurusan PFA kepada saya sebelum ini.

“Saya sudah melakukan sesi pemilihan sebanyak dua kali dan senarai penuh pemain sudah ada, tetapi bila ditanya mengenai soal pertukaran sekolah pemain dan jadual latihan, pihak pengurusan hanya minta saya menunggu saja,” katanya yang dihubungi, semalam.

Akmal Rizal berkata, dia sudah tidak boleh menunggu lagi memandangk­an dirinya ada tanggungan dan keluarga yang perlu diuruskan.

“Dahulu lain dan segala perancanga­n nampak elok tetapi seolah-olah ada sesuatu tak betul sedang berlaku dan setiap kali ditanya mengenai pembanguna­n pemain pihak pengurusan minta saya menunggu.

“Perkara sebegini tidak boleh berlaku kerana industri bola sepak kita sedang membangun dan saya harap pihak pengurusan perlu teliti selepas ini dan perlu ukur baju di badan sendiri setiap kali menandatan­gani kontrak jurulatih serta pemain,” katanya.

Selain isu Akmal Rizal, Perlis turut dibelenggu khabar angin bakal ‘ditendang’ keluar daripada Arena Universiti Malaya (UM) dan tidak dibenarkan menjalani latihan di kawasan terbabit.

Ia susulan Perlis gagal untuk melunaskan pembayaran sewa selama dua bulan dan sesi latihan minggu lalu dipercayai menjadi sesi latihan terakhir skuad bimbingan Manzoor Azwira Abd Wahid di Arena UM.

Dengan pasukan itu kini berpangkal­an di ibu negara, sudah tentu mereka perlu mencari padang latihan baharu sekiranya mereka tidak lagi dibenarkan beraksi di Arena UM selepas ini.

Mengulas isu itu, Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Shafie mendakwa masalah padang itu belum ada keputusan muktamad.

“Selepas aksi bertemu Johor Darul Ta’zim II (JDTII), kita tiada sesi latihan kerana kita memberi rehat kepada pemain kita.

“Jadi, kita tunggu esok (hari ini) sama ada kita dapat menjalani latihan ataupun tidak. Saya tidak mahu memberi sebarang kenyataan kerana tidak mahu apa apa spekulasi timbul,” katanya.

Difahamkan, UM adalah salah satu penaja buat pasukan Perlis musim ini dan jata universiti itu turut terpampang di bahagian belakang jersi pasukan itu.

Pada masa sama, Ahmad Amizal mengulangi pendiriann­ya untuk tidak menghalang mana-mana pemain daripada meninggalk­an pasukan selepas tunggakan gaji dialami selama dua bulan.

“Kita terbuka dan akur jika ada pemain yang membuat keputusan sedemikian. Apapun, kita akan cuba buat yang terbaik untuk menyelesai­kan apa sahaja permasalah yang timbul,” katanya.

Sebagai rekod, jendela perpindaha­n pertama Liga Malaysia (Liga M) dibuka sehingga 20 Februari ini.

 ??  ?? AKMAL ketika sesi latihan skuad B-17 Singa Utara.
AKMAL ketika sesi latihan skuad B-17 Singa Utara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia