Harian Metro

Pemandu pelancong hina polis di media sosial ditahan

-

Gara-gara memuat naik status Facebook menghina polis, seorang pemandu pelancong menerima padahnya selepas ditahan di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superinten­dan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan ketika tampil membuat laporan kemalangan jalan raya di Balai Trafik Kuah.

Menurutnya, suspek sebelum itu memuat naik status menghina polis ke laman sosial Langkawi Sana Sini II pada Khamis lalu iaitu sehari sebelum kemalangan membabitka­n dirinya berlaku.

“Suspek memuat naik status ‘anak aram pi buat speed trap jalan menurun bukit...mmg laju...duk line kanan plak...bahlol elok ang baca status ni...”!

“Berikutan itu, seorang anggota polis membuat laporan kerana tidak berpuas hati atas kenyataan itu dan mahu tindakan sewajarnya diambil ke atas pemilik akaun Facebook berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Iqbal berkata, kebetulan anggota polis trafik yang mengambil laporan kemalangan berkenaan mengecam wajah suspek berdasarka­n gambar profil Facebook yang sempat dirakam di layar komputer.

“Suspek yang memadam status akaun Facebook miliknya mengakui memuat naik kenyataan itu kerana marah dan risau disaman pihak polis.

“Lelaki yang bekerja pemandu pelancong itu direman selama empat hari dan berakhir Rabu ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia