Panduan ukur gaji sektor awam, swasta
Putrajaya: Indeks Gaji Kebangsaan (NWI) dilancarkan secara rasminya semalam bagi mengukur perubahan gaji dan upah pekerjaan untuk sektor awam dan swasta di negara ini.
Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata, buat pertama kalinya, negara mempunyai indeks gaji kebangsaan sendiri sekali gus menjadi tanda aras bagi majikan dan syarikat untuk menentukan tahap gaji, membuat pelarasan gaji selain dijadikan input kepada dasar sumber manusia syarikat.
Beliau berkata, tahap gaji serta upah pekerja kebiasaannya subjektif dan ia tertakluk kepada keputusan syarikat dan majikan namun, NWI boleh dijadikan sebagai panduan kerana ia bersifat analisis terbuka dan telus.
“NWI juga boleh digunakan kesatuan pekerja sebagai satu proses untuk meningkatkan gaji dan perjanjian bersama,” katanya pada sidang media selepas melancarkan NWI di sini, semalam.
Katanya, kajian NWI sektor swasta adalah tinjauan yang dilakukan setiap suku tahunan membabitkan firma dan syarikat terpilih di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak yang semua sektor ekonomi utama negara termasuk pertanian, pembuatan dan perkhidmatan.
Kulasegaran berkata, bagi sektor awam pula, data diperoleh daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).
NWI dikeluarkan Institut Maklumat dan Analisis Pasaran buruh (ILMIA) dan ia dikeluarkan setiap suku tahun apabila penerbitan seterusnya adalah pada suku kedua 2019.
Sementara itu, Pengarah ILMIA Wan Zulkifli Wan Setapa berkata, NWI ditetapkan pada kadar 100 iaitu paras normal membabitkan lapan sektor utama iaitu indeks gaji minimum awam dan swasta, indeks gaji keseluruhan awam dan swasta, gaji asas mengikut wilayah, gaji keseluruhan mengikut wilayah, gaji asas mengikut pekerjaan, gaji keseluruhan mengikut pekerjaan, indeks gaji asas mengikut sektor ekonomi dan gaji keseluruhan mengikut sektor ekonomi.