Harian Metro

Rentas samudera ditemani keluarga

-

Tambah menarik, anak kelahiran Ipoh, Perak ini tidak belayar di lautan sendirian, sebaliknya turut ditemani anak, Maryam Inara dan isteri tercinta, Ira Farina Mohamed Jasmani.

Bercerita mengenai pembabitan awalnya dalam kerjaya, kata Muhammad Yussra, dia adalah lepasan Maktab Tentera Diraja. Rezeki berpihak kepadanya apabila ditawarkan untuk melanjutka­n pelajaran ke Akademi Laut Malaysia dengan yuran ditaja syarikat perkapalan nasional.

“Saya anak sulung daripada empat beradik. Ayah, Hakimi Abdullah adalah Veteran Komando

Vat 69 Polis Diraja Malaysia manakala ibu, Fatimah Lee menjadi suri rumah sepenuh mana.

“Tamat pengajian di akademi, saya menggengga­m Diploma Sains Nautika dan Sijil Kecekapan (COC 1 FGN ) Tahap 1 tanpa had oleh Jabatan Laut Malaysia. Kemudian, saya terus ditawarkan bekerja di syarikat perkapalan yang menaja dari 2009 hinggalah menjadi kapten pada akhir tahun lalu,” katanya.

KERJAYA UNIK

Mengakui jatuh cinta pada kerjaya dan kehidupann­ya kini, Muhammad Yussra berkata, dia tidak pernah berasa terbeban biarpun terpaksa berpisah jauh daripada keluarga serta rakan, mahupun saudara.

“Saya mula mengenali dunia maritim melalui rakan senior di maktab. Mungkin sudah tersurat rezeki Allah SWT dan didorong pula dengan tajaan pendidikan serta tawaran bekerja, saya nekad meneroka setiap sisi bidang ini.

“Alhamdulil­lah, perjalanan hidup saya dipermudah­kan-Nya. Saya bersyukur diberi peluang menjadi kapten pada usia yang agak muda dan diberi kepercayaa­n mengendali­kan kapal bersaiz hampir 300 meter panjang.

“Semua ini bukanlah tugas yang mudah. Untuk mengemudi kapal sebesar ini, saya perlu sentiasa peka dan bijak dalam membuat keputusan. Ketepatan menjadi hal yang sangat kritikal dalam membuat keputusan supaya kapal sentiasa dikemudi dalam keadaan selamat.

“Apa lagi kapal sebesar ini memang memerlukan masa yang agak panjang untuk berpusing atau berhenti. Kedalaman laut harus dipantau sepanjang masa untuk mengelak risiko tersangkut pada dasar, terutama apabila menghampir­i pelabuhan,” katanya.

Hal paling manis yang tidak mungkin lekang dalam ingatan lelaki ini apabila dia berpeluang menjejakka­n kaki ke pelbagai negara setiap kali kapal bersauh di pelabuhan.

“Sepanjang karier daripada kadet hingga bergelar kapten, memang banyak pengalaman menarik. Siapa sangka, pada usia muda, saya sudah menjejakka­n kaki ke bandar paling utara di dunia di Norway dan paling selatan di Chile.

“Selain itu, ada satu lagi pengalaman bermakna yang tidak boleh dilupakan. Pernah suatu ketika, kapal yang saya naiki melalui Teluk Aden. Lokasi ini memang cukup terkenal dengan ancaman kegiatan lanun dan rampasan kapal. Bagaimanap­un, kami berterima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana menempatka­n pasukan khas ketika melalui perairan berkenaan,” katanya tersenyum.

Berkali-kali juga soalan mengapa memilih cabang kerjaya ini ditujukan kepada Muhammad Yussra. Namun, lelaki ini tetap konsisten melontarka­n jawapannya. Memang tajaan pendidikan dan tawaran pekerjaan yang membawa dirinya mudik ke laut dan singgah ke pelabuhan.

“Cabang kerjaya ini memang kurang diketahui anak muda. Saya sendiri mendapat peluang untuk mengenali dan meneroka dunia maritim menerusi pengajian di akademi.

“Apabila sudah menceburka­n diri, barulah saya bertemu banyak peluang dan pengalaman berharga. Saya dapat menjejakka­n kaki ke lebih 25 negara. Ia umpama satu nilai tambah paling menarik dalam bidang kerjaya ini.

“Saya bukan saja dapat mempelajar­i budaya dan sosioekono­mi sesebuah negara dengan lebih dekat, malah berkesempa­tan menjadi duta kecil untuk mempromosi­kan negara di mata dunia,” katanya.

Berbeza dengan kebanyakan daripada kita yang bekerja di pejabat, cabaran dihadapi Muhammad Yussra lebih menakutkan. Ada waktunya, dia terpaksa berdepan dengan perubahan cuaca dan taufan tidak menentu. Itu tidak termasuk debarannya setiap kali melalui kawasan lanun dan perairan sibuk seperti di Selat Singapura dan Selat Melaka.

PENGUAT SEMANGAT

“Walaupun demikian, saya tidak mudah gentar. Adanya isteri dan anak di sisi memberi semangat dan kekuatan untuk berdepan masa sukar. Mereka memang saya bawa belayar bersama mengikut syarat ditetapkan syarikat.

“Mungkin orang ramai tidak tahu senario ini. Jadi, timbullah persepsi berjauhan daripada keluarga, berbulan di laut, hilang komunikasi dengan anak dan sebagainya.

“Kalau diikutkan, kebanyakan syarikat perkapalan sudah menyediaka­n kemudahan Internet untuk keperluan anak kapal. Jadi, tidak timbul soal komunikasi terhalang dan sebagainya.

“Isteri dan anak memang jarang kebosanan. Dia mula ikut saya belayar sejak kami berkahwin. Malah kini dia sudah tahu selok-belok pekerjaan saya. Ada banyak aktiviti di atas kapal. Kami juga berpeluang untuk keluar berjalan-jalan di negara lain setiap kali kapal singgah di pelabuhan. Jadi, bosan itu mungkin tidak ada,” katanya.

Jelas Muhammad Yussra, dia selalu berasakan dirinya bertuah kerana sentiasa ditemani keluarga dalam keadaan susah dan senang. Pengalaman itu katanya, terlalu mahal dan tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

Keluarga di Malaysia pula cukup memahami. Mereka sentiasa menyokong. Cuma, ada waktunya mereka dihantui kebimbanga­n apabila terdengar berita rampasan kapal oleh lanun dan cuaca yang tidak menentu di laut. Berkat doa dan ingatan mereka jugalah saya berjaya ke tahap ini,” katanya.

 ??  ?? Cabang kerjaya ini memang kurang diketahui anak muda.
Saya sendiri mendapat peluang untuk mengenali dan meneroka dunia maritim menerusi pengajian
di akademi
KETIKA berada di Jepun.
Cabang kerjaya ini memang kurang diketahui anak muda. Saya sendiri mendapat peluang untuk mengenali dan meneroka dunia maritim menerusi pengajian di akademi KETIKA berada di Jepun.
 ??  ?? MASA berharga bersama keluarga tercinta.
MASA berharga bersama keluarga tercinta.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia