Harian Metro

Sasar naik podium

- Azlan Muhammad Zain azlanmz@mediaprima.com.my

 Skuad hoki dalam air optimis raih gangsa di Sukan SEA

Hoki dalam air bertapak di Malaysia sebagai sukan yang tidak dikenali, unik serta pelik namun kini memburu pingat di Sukan SEA Filipina penghujung tahun ini.

Itu keazaman yang disuarakan Presiden Malaysia Underwater Hockey Club (MUHC), Ishmael Fadullah Ho Wen Xiong, 30, walaupun majoriti peminat sukan tempatan masih naif mengenai hoki dalam air.

Ia hakikat yang dilalui sendiri selepas kembali ke tanah air dari Britain pada 2011 apabila sukan yang turut dikenali sebagai underwater hockey (UWH) dan ‘octopush’ belum wujud di Malaysia.

“Paling hampir sukan ini bertapak di Singapura. Jadi kita di MUHC bermula dari kosong untuk membangunk­an sukan yang dimainkan sejak 1950-an di Britain.

“Bagaimanap­un kami sudah berjanji dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk memastikan kedudukan podium, iaitu sekurang-kurangnya gangsa mampu diraih. Filipina dan Singapura dilabel berada pada tahap yang lebih baik di rantau Asia Tenggara ketika ini,” katanya.

Menjelaska­n lebih lanjut sukan ‘asing’ itu, Ishmael berkata, ia dimainkan selama 30 minit dengan setiap babak selama 15 minit membabitka­n 10 pemain setiap pasukan termasuk empat sebagai simpanan.

Antara peralatan yang digunakan adalah puck (bola berbentuk silinder), kayu hoki pendek sepanjang 15 sentimeter (diperbuat daripada plastik keras), baju renang, sepasang kaki itik, sarung tangan, topi polo dan topeng snorkel.

Ia dipertandi­ngkan dalam kolam yang bersaiz 15 meter lebar dan 25 meter panjang yang mempunyai kedalaman dua meter. Ia turut mempunyai gawang gol di dasar kolam dan diperbuat daripada keluli dengan ketinggian 180 milimeter.

“Sudah pasti mereka yang ingin bermain memerlukan kepakaran berenang dan kemampuan menggelece­k bola di bahagian dasar,” katanya.

Perancanga­n Ishmael bersama komuniti hoki dalam air sebenarnya lebih besar apabila mahu menjadikan Malaysia sebagai kuasa besar dunia dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Perjalanan ke arah peringkat lebih tinggi harus bermula dan ia akan mengambil masa. Jadi kami akan memulakan perjalanan di Sukan SEA dan diharapkan terus berkembang dan mendapat perhatian semua pihak.

“Kami dalam proses untuk mendaftark­an sebuah persatuan di peringkat kebangsaan dan apabila semuanya sudah lengkap, kami akan mengorak langkah mengukuhka­n kedudukan sukan ini terutama dalam mencari lebih ramai pemain. Perancanga­n sudah ada, hanya menunggu masa untuk kami melaksanak­annya,” jelasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia