Harian Metro

‘Mongukab tagal’

- Recqueal Raimi cnews@nstp.com.my

 600kg pelbagai jenis ikan dituai penduduk Kampung Raganan

Kira-kira 600 kilogram pelbagai jenis ikan dituai penduduk Kampung Raganan, Kiulu, di sini, ketika aktiviti menangkap ikan di sungai yang dijaga menerusi sistem adat iaitu larangan penangkapa­n ikan sesuka hati dikenali sebagai bombon atau tagal, baru-baru ini.

Aktiviti dikenali sebagai ‘mongukab tagal’ dalam bahasa Dusun bermaksud membuka tagal itu diadakan setahun sekali membabitka­n penduduk kampung dengan kebiasaann­ya dibuat ketika musim kemarau.

Penduduk, Janius Ikat, 49, berkata, acara yang diadakan sejak 1980-an itu umpama aktiviti ‘menyambut’ ketibaan musim kemarau dan ia sentiasa ditunggu-tunggu penduduk kampung bagi melihat hasil sungai yang dipelihara selama setahun.

“Setiap kali aktiviti mongukab tagal diadakan, ia tidak pernah menghampak­an kerana hasil yang diperoleh mencecah ratusan kilogram dan semuanya dibahagika­n sama rata kepada setiap keluarga.

“Bagi tahun ini saja, kira-kira 600 kilogram ikan berjaya dituai dan dibahagika­n kepada 50 keluarga. Pelbagai jenis ikan ada seperti pelian (kelah) dan lampam, malah kali ini ada seekor sinsilog (belut sungai) seberat 6.4 kilogram berjaya ditangkap,” katanya.

Katanya, aktiviti itu bukan semata-mata untuk menuai hasil sungai, malah ia juga adalah acara ‘balik kampung’ bagi penduduk yang tinggal di bandar untuk memeriahka­n suasana atau riadah bersama keluarga.

“Kemeriahan menangkap ikan bukanlah kerana hasil tangkapan yang lumayan, namun kerjasama semua penduduk yang bersatu-padu menyebabka­n semua gembira dengan acara ini,” katanya.

Bombon atau tagal adalah amalan tradisi masyarakat Kadazandus­un di negeri ini untuk memelihara sungai daripada ancaman lampau tuai atau apa saja aktiviti yang merosakkan hidupan sungai.

Menerusi amalan itu, orang ramai tidak dibenarkan menangkap ikan sesuka hati di sungai yang dipelihara dan jika didapati melanggar peraturan, seseorang boleh didenda mengikut peruntukan sistem adat di sesebuah kampung.

Amalan itu dapat memastikan ikan mampu membiak tanpa gangguan untuk menjamin populasi ikan berterusan, manakala aktiviti menangkap ikan hanya dibenarkan setahun sekali secara beramai-ramai berdasarka­n persetujua­n penduduk.

 ??  ?? PENDUDUK mengutip ikan ketika menyertai acara ‘Mongukab Tagal’ di Kampung Raganan, Kiulu.
PENDUDUK mengutip ikan ketika menyertai acara ‘Mongukab Tagal’ di Kampung Raganan, Kiulu.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia