Harian Metro

KARPET SANTAI TEPI TALI AIR

 Keindahan rumput di tali air jadi tumpuan bergambar

- Noorazura Abdul Rahman am@hmetro.com.my

Selepas tular jerami gulung, kini orang ramai sekitar daerah ini dianugerah­kan pula dengan panorama indah rumput karpet yang tumbuh di tali air Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Keindahan semula jadi yang terdapat di Kampung Pulau Tembun di sini, menarik perhatian ramai yang tidak melepaskan peluang mengambil gambar sejak awal pagi.

Menurut Muhammad Afiq Che Wang,19, dia bersama empat rakannya bagaimanap­un terpaksa menunggu hari cuti sekolah bagi melihat sendiri panorama yang jarang berlaku itu.

Katanya, keadaan rumput yang tumbuh menghijau sepanjang tali air MADA membuktika­n kekuasaan Allah yang menghidupk­an rumput subur di atas tanah kering-kontang akibat musim panas.

“Cuaca sekarang sangat panas, kebanyakan sawah sudah dituai manakala tali air ini kering. Tetapi di sebalik tanah yang merekah, ada tumbuhan yang boleh hidup dan mewarnai tali air ini.

“Selepas tular minggu lalu, saya mengajak rakan untuk bergambar. Disebabkan terlalu teruja, kami mengambil gambar dengan gaya baring dan meniarap di atas rumput yang sangat cantik seperti karpet,” katanya yang juga pelajar sekolah menengah agama di Alor Setar.

Sementara itu, Ketua Cawangan Komunikasi Korporat MADA, Mohd Hafizi Zakaria berkata, pihaknya menyedari kewujudan rumput terbabit yang tumbuh berikutan MADA tidak membekalka­n air semasa musim menuai.

“Kini hampir keseluruha­n kawasan itu sudah dituai. Tiada air dibekalkan buat masa ini kerana tiada keperluan di ladang, ditambah pula dengan cuaca panas menyebabka­n tali air kering.

“Bekalan air akan dibekalkan semula apabila bermula penanaman padi musim 1/2019 dijangka bermula hujung April ini,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? PENGUNJUNG merakam gambar di atas rumput karpet di Yan.
PENGUNJUNG merakam gambar di atas rumput karpet di Yan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia