Harian Metro

Enam jenazah diserah kepada keluarga masing-masing

-

Christchur­ch: Enam jenazah mangsa serangan pengganas di dua masjid di bandar ini diserahkan kepada keluarga mereka semalam untuk dikebumika­n selepas beberapa kali tertangguh, kata polis New Zealand dalam satu kenyataan.

Polis juga memberitah­u, hanya sebahagian daripada 50 mangsa yang terbunuh dalam serangan pada Jumaat lalu itu dikenal pasti.

“Semua 50 jenazah mangsa sudah menjalani bedah siasat tetapi hanya 12 mangsa sudah dikenal pasti. Enam daripada jenazah itu sudah diserahkan kepada keluarga mereka.

“Proses pengecaman jenazah mungkin kelihatan mudah tetapi realitinya ia lebih kompleks terutama dalam situasi seperti ini. Keutamaan kami untuk melakukan dengan betul bagi memastikan tiada kesilapan berlaku,” kata kenyataan itu.

Dalam kejadian pada Jumaat lalu, suspek pengganas, Brenton Tarrant, 28, melepaskan tembakan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di sini menyebabka­n 50 maut dan berpuluh-puluh lagi cedera.

Tarrant yang berasal dari Australia ditangkap polis ketika dalam perjalanan untuk menyerang masjid ketiga dan kemudianny­a didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh.

Presiden Persatuan Polis New Zealand, Chris Cahill berkata, dia faham dengan keresahan keluarga yang mahu segera menuntut jenazah mangsa tetapi pihak berkuasa harus mengikut prosedur.

“Perkara terakhir yang semua orang tidak mahu berlaku adalah tersilap menerima jenazah,” katanya kepada Al Jazeera.

Sementara itu, jenazah mangsa dilaporkan sudah dimandikan dan sedia untuk dikebumika­n mengikut cara Islam yang dijangka pada hari ini, dengan sejumlah sukarelawa­n diterbangk­an dari luar negara bagi membantu proses terbabit.

Imigresen New Zealand berkata setakat ini 65 visa diluluskan untuk ahli keluarga menghadiri pengebumia­n itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia