Harian Metro

‘Maaf United’

- Reuters

 Pochettino akui Barcelona lebih kuat berbanding Red Devils

Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino berkata, Barcelona memiliki kelebihan pada pertemuan menentang Manchester United pada suku akhir Liga Juara-Juara dan yakin kelab gergasi Sepanyol itu mampu muncul juara buat kali keenam saingan utama Eropah berkenaan.

United sudah kembali bangkit sejak dibimbing pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer yang mengambil alih pasukan daripada Jose Mourinho yang dipecat, Disember lalu dan beliau membawa anak buahnya menang 14 daripada 19 perlawanan.

Pochettino bagaimanap­un merasakan masih banyak yang perlu dilakukan United untuk menandingi Barcelona yang kini 10 mata mengatasi pencabar terdekat di La Liga.

“Jika ada pasukan pilihan untuk memenangi Liga Juara-Juara musim ini, ia pastilah Barcelona,” kata bekas pengurus Espanyol, Pochettino kepada wartawan.

“(Ernesto) Valverde menjalanka­n tugasnya dengan sangat baik. Mereka memiliki pemain yang berada di tahap ter- tinggi dan mereka juga memiliki Lionel Messi.

“Saya rasa pasukan Manchester United yang dibina sejak beberapa tahun lalu, diwujudkan untuk memenangi kejohanan besar. Tetapi pada pandangan saya, Barcelona berada pada satu tahap lebih tinggi berbanding Manchester United.”

Spurs akan berdepan seteru paling kuat, Manchester City di suku akhir Liga Juara-Juara dan Pochettino menganggap Pep Guardiola menyiapkan kelab juara Inggeris itu juga khusus untuk memenangi gelaran tertinggi Eropah.

“Memang jelas dilihat bahawa Manchester City adalah pasukan yang diwujudkan untuk menang dan mereka berkemampu­an untuk menang,” katanya.

“Kami akan cuba bersaing. Kami tahu bahawa dalam pertanding­an sebegini, tahap kecergasan fizikal pasukan adalah sangat penting.

“Kami didorong semangat dengan adanya stadium baharu dan kami akan bermain di depan 62,000 penyokong. Ia akan memberikan kami tenaga tambahan.”

Tottenham akan berpindah ke stadium baharu mereka sebelum melayan kunjungan City pada 9 April depan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia