Harian Metro

Skuad orang buta duduki tangga ke-16 dunia

- Meor Riduwan Meor Ahmad mriduwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Kalau kalah pun bukan lauk, kalah bermaruah.”

Itu kata Presiden Persatuan Bolasepak Orang Buta Malaysia (BFAM), Mejar Azhari Abdullah mengenai kehebatan anak buahnya hingga mampu menduduki ranking ke 16 dunia dan kelima Asia.

Menurutnya, beliau optimis, skuad bola sepak orang buta negara mampu lebih cemerlang jika diberi lebih banyak peluang menyertai pertanding­an lebih kompetitif dan dibantu dalam segenap segi khususnya peralatan dan kemudahan sukan itu.

“Walaupun kedudukan pasukan negara di tangga ke lima Asia, saya percaya kita setanding dan tidak jauh daripada pasukan di atas kita.

“Berbanding pada 2012 misalnya, apabila lawan Russia, kita kalah 6-1, Korea Selatan (9-0). Tapi sekarang pasukan kita beri saingan. Maknanya bola bulat, apa saja boleh berlaku. Insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Penyerahan Penajaan Kepada BFAM di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan, Fox Marketing Sdn Bhd, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan kapten bola sepak orang buta negara, Mohamad Amirul Arif Mahadhir.

BFAM yang dalam misi melayakkan diri ke temasya Paralimpik di Tokyo, Jepun, mendapat ‘tonik’ berupa penajaan pakaian untuk latihan dan kejohanan rasmi serta peralatan sukan bernilai RM5,000 daripada syarikat itu.

Mengulas lanjut, Azhari berkata, pasukan bola sepak orang buta negara kini gigih berlatih di bawah kendalian jurulatih Sunny Shalesh, untuk persiapan Kejuaraan Bolasepak Orang Buta Asia 5 Sebelah yang juga kelayakan paralimpik 2020 di Bangkok Thailand, pada September depan serta ASEAN Para Games Filipina pada Januari 2020.

“Memang kita ada anjurkan sirkit kebangsaan bagi kejohanan bola sepak orang buta untuk persiapan pasukan, malah pihak MSN (Majlis Sukan Negara) juga setuju membantu.

“Pada April pula ada kejohanan India Internatio­nal Blind Football, tapi mungkin skuad negara tidak dapat pergi berikutan kos tinggi termasuk penerbanga­n dan penginapan.

“Penganjur masih menunggu jawapan sama ada kita nak sertai atau tidak. Malah pada 2016 kita pernah jadi juara kejohanan tiga penjuru ini selepas menewaskan Laos, 2-1,” katanya mengalu-alukan jika ada pihak sudi menaja perlawanan persahabat­an untuk skuad kebangsaan.

 ??  ?? SKUAD bola sepak orang buta negara mampu pergi lebih jauh jika terima lebih banyak bantuan.
SKUAD bola sepak orang buta negara mampu pergi lebih jauh jika terima lebih banyak bantuan.
 ??  ?? AZHARI
AZHARI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia