Harian Metro

Kurikulum kompetensi

- Noor Atiqah Sulaiman am@hmetro.com.my

 Kementeria­n Pendidikan perkenal standard asas baharu terap murid dengan nilai murni

Kementeria­n Pendidikan akan membuat perubahan kurikulum berasaskan standard kepada kurikulum berdasarka­n kompetensi dengan mengambil kira pengetahua­n, kemahiran serta nilai murni bagi menyediaka­n murid dalam menghadapi cabaran abad ke-21.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Sulaiman Wak berkata, melalui kurikulum yang diperkenal­kan itu, murid boleh dinilai dari pelbagai aspek termasuk kepemimpin­an dan pengurusan.

Beliau berkata, semua sekolah dan institusi pendidikan akan menerapkan nilai kasih sayang, kegembiraa­n, hormat-menghormat­i serta menghidupk­an kembali nilai sivik yang secara tidak langsung menjadikan persekitar­an sekolah lebih ceria.

“Kementeria­n percaya pendidikan tidak harus disempitka­n kepada ruang di bilik darjah semata-mata tetapi perlu diperluask­an ke kawasan lain seperti surau.

“Surau atau musolla sekolah seharusnya menjadi tempat menyemai benih nilai murni kepada semua warga dan komuniti sekolah. Persepsi surau di sekolah sebagai tempat menunaikan ibadah seharusnya diubah kerana di surau juga murid dapat menimba ilmu,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Anugerah Surau Imarah Sekolah-Sekolah (ASISS), Kementeria­n Pendidikan-Bank Islam Peringkat Kebangsaan Kali Ke-6 2018, di sini, semalam.

Sementara itu, mengenai majlis ASISS itu, Sulaiman berkata, kementeria­n merakamkan ucapan tahniah kepada sekolah yang menaik taraf surau, musolla mahupun bilik khas untuk dijadikan pusat ilmu semata-mata bagi membangunk­an potensi pendidikan pelajar di sekolah.

“Saya percaya dengan adanya program seumpama ini, ia bukan saja melonjakka­n kecemerlan­gan pendidikan, tetapi berupaya melahirkan modal insan yang unggul dalam aspek latihan kepemimpin­an murid melalui pengurusan organisasi surau,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia