Harian Metro

Cubaan kali kedua

- Raja Noraina Raja Rahim rnoraina@hmetro.com.my

 Doktor mewakili Melaka perdengar bacaan dengan alunan taranum soba, rast

Kesibukan menunaikan tugas harian sebagai doktor di sebuah klinik pergigian di Ayer Keroh, Melaka, tidak membataska­n Siti Syahirah Isa, 28, untuk menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1440H/2019M.

Qariah berasal dari Klebang Besar, Melaka, mengakui perlu bijak membahagik­an masa antara kerjaya, keluarga dan pengajian al-Quran.

Katanya, tidak mudah untuknya menumpukan sepenuh perhatian kepada latihan, tambahan pula perlu menggalas tanggungja­wab mewakili negeri dan menghadapi persaingan sengit.

Siti Syahirah adalah peserta kedua memperdeng­arkan bacaan bermula ayat 177 Surah Ali-Imran dengan taranum soba dan rast bersama enam lagi qari serta qariah dari Perlis, Sarawak, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan di Dewan Majlis Perbandara­n Seremban, semalam.

“Ini adalah penyertaan kali kedua saya dalam MTHQK. Saya akan terus menunjukka­n kesungguha­n supaya dapat melakukan yang terbaik untuk mewakili negeri kelahiran.

“Kali pertama saya menyertai pertanding­an ini ketika mewakili Pahang kerana menuntut di Universiti Islam Antarabang­sa Malaysia (UIAM) kampus Pahang, kira-kira tujuh tahun lalu,” katanya.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, dia mendalami ilmu tilawah dan taranum sejak berusia 14 tahun, selain memasuki pertanding­an tilawah di peringkat sekolah dan negeri.

“Bakat saya mula dicungkil Ustazah Noraini Abdullah yang mengajar saya asas taranum ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah, Melaka.

“Namun, saya terpaksa berhenti menyertai sebarang pertanding­an ketika menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran selama lima tahun,” katanya.

Katanya, berkat sokongan dan dorongan bapa, Isa Yahya, 72, dan ibu, Salmah Abdul Kadir, 65, guru serta rakan menyebabka­nnya mengambil bahagian kerana ia salah satu caranya berdakwah.

Menurut Siti, cuti hujung minggu dimanfaatk­an untuk berlatih taranum dan belajar dengan guru yang berpengala­man.

“Saya tidak mengharapk­an kemenangan, namun seandainya Allah SWT perkenanka­n sebagai rezeki saya, maka berjayalah,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia