Harian Metro

Hanya lihat jentera mesin padi terbakar

-

Pendang: “Kami cuba nak padam api sebaik ternampak jentera mesin padi itu berasap dan mula terbakar.

“Tetapi sawah pula kering disebabkan cuaca panas melampau menyebabka­n kami hanya mampu melihat ia terbakar sebelum bomba sampai,” kata Mohd Fisol Omar, 45.

Mohd Fisol yang juga pemilik sawah di Kampung Kubang Pisang, Jalan Kubur Panjang berkata, kejadian berlaku jam 11 pagi semalam apabila jentera mesin padi yang dipandu pekerja berusia 20-an di sawahnya itu tiba-tiba mengalami kerosakan di bahagian enjin dan berasap.

Ketika itu pekerja terbabit tidak sedar jentera itu berasap dan terbakar malah meneruskan kerjanya membersihk­an sawah berkenaan sebelum pemandu sebuah lagi jentera mesin padi di kawasan itu menjerit memberitah­unya mengenai kebakaran itu.

“Mangsa terus melompat dari jentera itu untuk menyelamat­kan diri dan bernasib baik kerana tidak melecur dan cedera.

“Tidak lama kemudian, bomba sampai dan memadam api daripada terus merebak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Ezzat Emran Ezzani berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.08 pagi dan sepasukan anggotanya tiba di lokasi jam 11.20 pagi.

Sebaik anggotanya tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati kebakaran bermula di bahagian enjin dan operasi pemadaman dimulakan jam 11.22 pagi.

“Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Pokok Sena, Pendang dan Tanah Merah.

“Kebakaran berjaya dikawal jam 12 tengah hari. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia