Harian Metro

Keindahan bunga mekar tarik puluhan ribu serbu Walker Canyon

-

Keindahan bunga berkembang di Walker Canyon di California Selatan memaksa pihak berkuasa sebuah bandar kecil menutup laluan ke kawasan itu berikutan jumlah pengunjung terlalu ramai yang datang untuk bergambar.

Bunga liar yang mekar dengan gelaran ‘superbloom’ itu terhasil berikutan hujan lebat selepas musim sejuk menyebabka­n kawasan lereng bukit dipenuhi bunga poppy jingga yang jelas dapat dilihat dari jarak ratusan kilometer.

Menurut Daily Mail, pihak berkuasa bandar Lake Elsinore menutup laluan ke Walker Canyon berikutan pengunjung terlalu ramai sehingga menyebabka­n kesesakan di lebuh raya berdekatan.

Kira-kira 50,000 pelawat dicatat hujung minggu lalu, dan orang ramai berbaris seawal jam 5.30 pagi untuk melihat bunga itu mekar.

Walker Canyon yang terletak 90 minit dari Los Angeles, sebelum ini hanya dikunjungi penduduk berdekatan namun, masalah timbul apabila pengunjung membuat laluan baru di lereng bukit serta merosakkan bunga dengan berbaring dan memijaknya.

Datuk Bandar Lake Elsinore, Steve Manos berkata, pihaknya melaksanak­an langkah keselamata­n, termasuk menyediaka­n bas pengantara.

“Huru-hara pada hujung minggu menyebabka­n seorang kakitangan perbandara­n dilanggar kereta dan seorang pengunjung dipatuk ular.”

Namun, bandar itu terpaksa menutup laluan ke kawasan itu pada hujung minggu apabila tidak dapat mengawal pengunjung seramai ‘Disneyland’. - Agensi

 ??  ?? KEADAAN lebuh raya berdekatan Walker Canyon yang sesak dengan kenderaan diletak di tepi jalan. - Agensi
KEADAAN lebuh raya berdekatan Walker Canyon yang sesak dengan kenderaan diletak di tepi jalan. - Agensi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia