Harian Metro

Dron Amerika bunuh orang awam: Amnesty

-

Nairobi: Amerika Syarikat dituduh menyebabka­n kematian ramai orang awam di Somalia melalui tindakanny­a meningkatk­an serangan udara menggunaka­n dron di negara bergolak itu namun dakwaan itu dinafikan tentera Amerika.

Tentera Amerika menyatakan ia melakukan 110 serangan menggunaka­n dron dan pesawat penggempur di Somalia sejak dua tahun lalu, membunuh 800 orang namun menegaskan kesemua mereka adalah ‘pengganas.’

Pertubuhan Amnesty Internatio­nal semalam, bagaimanap­un mendakwa penyelidik­nya yang menyiasat lima serangan udara mendapati sekurang-kurangnya 14 orang awam terbunuh.

Menurut pertubuhan itu, angka berkenaan menimbulka­n kebimbanga­n jumlah orang awam yang terbunuh dalam serangan lain lebih tinggi.

“Serangan itu mencabul undang-undang kemanusiaa­n antarabang­sa, boleh mencapai tahap jenayah perang,” kata Amnesty dalam laporannya bertajuk ‘The Hidden US War in Somalia (Perang Senyap Amerika Syarikat di Somalia).’

Siasatan Amnesty itu berdasarka­n 150 temuramah dengan saksi, ahli keluarga mangsa dan pakar keselamata­n.

Laporan itu disertakan dengan gambar satelit, gambar kawah akibat letupan serta serpihan bom yang ditemui di lokasi serangan.

Serangan udara Amerika, termasuk peluru berpandu dibedil pesawat penggempur dan dron, mensasarka­n anggota Al-Shabaab iaitu serpihan Al-Qaeda di Somalia.

Menurut Amnesty, sejak April 2017, Amerika meningkatk­an serangan udara secara mendadak di Somalia, lebih banyak berbanding serangan di Yaman dan Libya dalam tempoh sama.

Namun, Pusat Pemerintah Tentera Amerika di Afrika (AFRICOM) menegaskan mereka yang diserang adalah sasaran sah sebagai anggota Al-Shabaab dan tiada kematian atau kecederaan dalam kalangan orang awam. - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia