Harian Metro

Low cabar barisan muda Die Mannschaft

-

Munich: Skuad muda Jerman perlu membalas keyakinan pengurus mereka menjelang perlawanan menentang Belanda di tempat lawan dalam aksi pertama kelayakan Euro 2020 minggu depan.

Jurulatih, Joachim Low

tanpa dijangka menggugurk­an tiga pemain veteran yang menjuarai Piala Dunia Mats Hummels, Jerome Boateng dan Thomas Muller, sekali gus merombak pasukannya selepas tersingkir di pusingan pertama Piala Dunia Russia 2018 dan kempen memalukan Liga Negara-Negara.

“Kami kini berdepan cabaran dan masa baharu. Saya perlu menyuntik pasukan yang kami percaya kepada mereka,” kata Low ketika sidang akhbar semalam.

“Kami memberi peluang kepada mereka memajukan diri sendiri dan mengambil lebih tanggungja­wab ketika melakukan kesilapan. Jadi, mereka mempunyai keyakinan untuk mengharung­i cabaran bulan depan.”

Menurut Low, lapan daripada 23 pemainnya masih boleh beraksi untuk skuad belia kebangsaan termasuk Kai Havertz yang berusia 19 tahun.

Hanya empat pemain mempunyai 30 kap termasuk tiga pemenang Piala Dunia 2014 penjaga gol Manuel Neuer, Matthias Ginter dan Toni Kroos.

Seorang daripada bintang meningkat naik Jerman, Serge Gnabry tidak cergas untuk aksi persahabat­an menentang Serbia di Wolfsburg tetapi Low yakin pemain sayap Jerman itu mampu berdepan Belanda di Amsterdam pada awal pagi Isnin ini.

Jurulatih itu yang menghadapi tekanan selepas Jerman mempamerka­n prestasi terburuk di Piala Dunia sejak 80 tahun lalu menjanjika­n skuad berwajah baharu lebih bertenaga, pantas dan mempunyai sentuhan penyudah lebih berbisa, tiga aspek yang hilang dalam skuad itu sebelum ini.

“Apa yang lebih penting ialah mempunyai lebih tempo, lebih dinamik dan fokus barisan depan. Saya tahu bagaimana berdepan tekanan. Kami belajar daripada kekecewaan lalu. Kami sekarang perlu mempunyai sikap berbeza berbanding pada 2018.” - Agensi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia