Harian Metro

Tiba-tiba dipecat

- Hasbi Sidek am@hmetro.com.my

 8 pekerja buntu dibuang kerja tanpa sebarang notis, pampasan

Syarat yang dikemukaka­n mesti wanita muda, bujang dan cantik untuk diambil bekerja sebagai pembantu peribadi dengan gaji lumayan mencecah RM5,000 sebulan.

Wanita yang terpilih itu bukan hanya bekerja di pejabat untuk melakukan kerja pentadbira­n malah perlu menemani majikannya berhibur, keluar makan selain pergi bercuti ke luar negara bersama majikan.

Demikian pekerjaan ditawarkan sebuah syarikat yang berdaftar sebagai agensi pelaburan dan hartanah namun malang bagi lapan pekerja yang terpilih itu apabila mereka dipecat seorang demi seorang sejak April tahun lalu tanpa sebarang notis dan pampasan.

Difahamkan, pemilik syarikat itu, seorang lelaki warga China hanya melakukan sesi temu duga melalui panggilan video saja sebelum semua wanita ini ditawarkan jawatan sebagai pembantu peribadi.

Salah seorang mangsa yang mahu dikenali Lock, 25, berasal dari ibu kota berkata, dia mula bekerja dengan syarikat berkenaan pada Mac tahun lalu sebelum dibuang kerja pada Januari lalu tanpa sebarang notis, pampasan dan bayaran kerja lebih masa.

“Tugas kami semua sama. Majikan akan memilih seorang antara kami untuk menemani mereka berhibur seperti karaoke, ke pusat hiburan, menemani mereka makan sehingga ke awal pagi.

“Selain tugas pentadbira­n seperti membuat kajian mengenai pelanconga­n di negara ini, kami juga turut dibawa bercuti bersama ke luar negara,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Wisma MCA di sini, semalam.

Seorang lagi mangsa, Sarah, 22, berkata, dia bekerja dengan syarikat itu di cawangan di Johor bermula Disember 2018 dan dibuang kerja pada Januari lalu sebelum meminta penjelasan daripada syarikat namun tidak dilayan.

“Sehingga kini saya tidak dapat menghubung­i mereka. Kami pernah ke Pejabat Buruh untuk menyelesai­kan masalah ini namun wakil daripada syarikat berkenaan tidak memberikan kerjasama.

Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, kes berkenaan adalah serius dan bukan dakwaan palsu daripada mangsa kerana dia sendiri berhubung dengan majikan terbabit.

“Saya bercakap dengan majikan mereka untuk berjumpa dan membincang­kan perkara ini namun mereka tidak hadir seperti dijanjikan.

“Menurut pemilik syarikat, mereka menyerahka­n perkara itu kepada peguam mereka,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia