Harian Metro

Skuad B-22 tagih sokongan peminat

-

Kuala Lumpur: Selepas melihat keperitan dilalui skuad ‘abang’ yang beraksi tanpa penyokong hingga tewas kepada Singapura 0-1 dalam Piala Airmarine malam kelmarin, skuad bawah 22 (B-22) tahun negara enggan nasib sama menimpa mereka apabila berdepan Filipina di Stadium Shah Alam, malam ini.

Lantas barisan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu menyeru agar semua penyokong terutama Ultras Malaya hadir menyokong pasukan pada aksi pertama Kumpulan J kelayakan Kejuaraan Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) B-23 itu.

Jelas tonggak tengah negara, Danial Amier (gambar), sokongan padu penyokong amat penting kepada pasukan yang mampu membakar semangat pemain sepanjang perlawanan.

“Saya sendiri berharap mereka (Ultras Malaya) boleh turun sebab ia boleh dijadikan sumber inspirasi dan semangat untuk kami beraksi lebih baik malam esok (malam ini).

“Apa yang berlaku kepada pasukan senior memang sedikit mengecewak­an, namun macam kami kena jadikan ia motivasi untuk tampil lebih baik apabila menentang Filipina,” katanya yang muncul wira pasukan ketika membenam Arab Saudi 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan C di Kejuaraan AFC B-23 untuk mara ke suku akhir sebelum tumbang 1-2 kepada Korea Selatan di China tahun lalu.

Nada sama turut diluahkan calon Anugerah Puskas FIFA, Syahmi Safari yang menyeru agar penyokong dapat memenuhi tempat duduk Stadium Shah Alam dalam semua aksi kelayakan AFC termasuk Filipina, Laos pada Ahad ini dan China dua hari kemudian.

“Semestinya sokongan padu penyokong amat ditagih untuk bagi semangat kepada kami. Pada Piala AFF tahun lalu pun kami dapat pergi jauh hingga final disebabkan oleh sokongan padu penyokong di belakang kami.

“Jadi, saya harap mereka tidak boikot dan akan datang ke stadium demi menyokong pasukan,” kata Syahmi yang membantu skuad senior mara ke final Piala AFF sebelum tewas kepada Vietnam menerusi agregat 2-3.

Kelmarin, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe menerima tamparan hebat apabila ‘dipulau’ oleh Ultras Malaya yang menyaksika­n pasukan gagal melangkah ke final Piala Airmarine selepas tumbang di tangan Singapura.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia