Harian Metro

Tiga amah ditumbuk, tak dibayar gaji larikan diri

-

Ditumbuk, ditampar dan tidak dibayar gaji. Itu dakwaan tiga amah Indonesia yang melarikan diri dari banglo majikan mereka di Country Heights.

Wanita berusia 25 hingga 41 tahun terbabit melarikan diri dengan memanjat pagar kediaman milik majikan bergelar Tan Sri itu pada 22 Mac lalu.

Tindakan mereka disedari seorang lelaki yang kebetulan melalui jalan berkenaan sebelum membawa mangsa ke Kedutaan Besar

Republik Indonesia.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd

Yussof berkata, mangsa juga dihantar ke Klinik Kesihatan Kajang untuk pemeriksaa­n.

“Bagaimanap­un, hasil pemeriksaa­n pegawai perubatan mendapati ketiga-tiga mangsa tidak mengalami kecederaan fizikal, mental atau seksual.

“Siasatan awal mendapati mangsa terbabit masing-masing sudah bekerja selama tujuh, empat tahun dan enam bulan di banglo berkenaan.

“Tiga wanita itu mendakwa mereka dilayan dengan kasar dan pernah dipukul dengan cara ditampar serta ditumbuk selain gaji mereka tidak dibayar selama bekerja di situ,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia