KEJANG OTOT DAKI BUKIT BONGOL
Seorang remaja lelaki terpaksa mendapatkan bantuan anggota bomba apabila mengalami kekejangan otot pada kedua belah kakinya ketika mendaki Bukit Bongol di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.20 petang itu mangsa, Datu Mohd Huzairi Datu Manggong, 17, dikatakan mendaki bukit berkenaan bersama rakannya sebelum diserang kekejangan yang menyebabkannya tidak mampu berdiri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.31
petang dan empat anggota serta sebuah jentera dihantar ke lokasi.
Katanya, sebaik tiba di kaki bukit itu anggota bomba terpaksa mendaki sehingga ke puncak sejauh dua kilometer pada ketinggian 480 meter dari aras laut sebelum menemui mangsa dalam keadaan terbaring.
“Mangsa berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan awal namun masih tidak mampu berjalan akibat kekejangan otot yang terlalu lama.
“Pasukan bomba kemudian mengangkat mangsa menggunakan alat pengusung menuruni bukit sebelum menghantarnya ke hospital Kota Belud menggunakan kenderaan Unit
Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Rozlan berkata, dalam operasi itu pihaknya turut dibantu tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Kampung Pengkalan Abai, dekat sini.
“Operasi ditamatkan jam 6.30 petang,” katanya.