Harian Metro

163 hangus duit tiket penerbanga­n RM100,000

-

Kota Kinabalu: Seramai 163 mangsa mendakwa menanggung kerugian lebih RM100,000 berhubung pembelian tiket penerbanga­n secara dalam talian selepas diperdaya seorang wanita yang didakwa melakukan peras ugut di Australia, baru-baru ini.

Mereka juga mendakwa wanita terbabit aktif melakukan kegiatan terbabit menerusi media sosial sejak tahun lalu hingga Februari lalu, namun tiada tindakan diambil pihak berkuasa.

Setiausaha Agung Persatuan Barisan Pengguna Sabah (CFOS) Hashimah Abdullah yang mewakili 14 pengadu di seluruh negara berkata, pihaknya mengetahui penahanan wanita itu di negara terbabit selepas melihat berita dan komen di media sosial pada 29 April lalu.

Menurutnya, pihaknya masih menunggu tindakan pihak berkuasa di negara ini terhadap penipuan dilakukan wanita itu.

“Sepatutnya tindakan diambil terhadapny­a apatah lagi penipuan dilakukan wanita itu membabitka­n 163 mangsa dengan kerugian lebih RM100,000 sejak tahun lalu hingga Februari lalu.

“Saya difahamkan wanita itu menawarkan khidmat jualan tiket penerbanga­n secara dalam talian pada 2017 pada harga murah, namun dikesan melakukan penipuan sejak tahun lalu selepas pelanggan tetap membuat pembelian berulang.

“Antara mangsa termasuk guru di Tawau yang mengalami kerugian RM74,000 untuk pembelian tiket bagi 70 penumpang termasuk pelajar bagi penerbanga­n pergi dan balik dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, akibat itu guru berkenaan terpaksa menanggung hutang keliling pinggang bagi membayar kos kerugian itu kepada ibu bapa pelajar terbabit dan guru-guru lain.

Katanya, guru terbabit memaklumka­n sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berhubung kejadian itu.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Superinten­dan G Moses Govindaraj­oo ketika dihubungi mengesahka­n menerima dua laporan polis mengenai kes berkenaan.

“Kita ada menerima dua laporan polis, masing-masing di daerah Kota Kinabalu dan Tawau. Siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia