Harian Metro

Hanya 50% ikan mendarat di Malaysia

-

Kuala Lumpur: Dianggarka­n 980,000 tan metrik hasil laut negara bernilai antara RM3 bilion hingga RM6 bilion hilang setiap tahun akibat dicuri nelayan asing.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi berkata, aktiviti penceroboh­an nelayan asing yang agresif menyebabka­n hanya 50 peratus ikan ditangkap di perairan negara didaratkan di Malaysia.

Mendedahka­n perkara itu Munir berkata, baki tangkapan sekitar perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia tidak dilaporkan, bermakna berlaku penceroboh­an nelayan asing yang mencuri hasil laut negara.

Katanya, perairan negara kaya dengan hasil laut yang bernilai tinggi seperti gamat, sotong dan ikan yu kerap menjadi sasaran nelayan Vietnam.

“Boleh kata setiap kali pihak berkuasa negara melakukan tangkapan, ikan dan hasil laut jenis ini paling banyak ditemui dalam bot mereka.

“Kerjasama strategik Jabatan Perikanan giat dilakukan dengan Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) bertujuan melaksanak­an penguatkua­saan di laut.

“Melalui Sistem Pemantauan Vesel (VMS), kita berjaya mengesan 128 kapal asing menceroboh perairan Malaysia, semakan dilakukan mendapati 43 peratus daripadany­a adalah dari Vietnam,” katanya kepada Harian Metro.

Munir berkata, mulai September 2017, Jabatan Perikanan tidak lagi mengeluark­an permit laut dalam untuk vesel perolehan luar negara termasuk dari Vietnam.

Terkini katanya, jabatan menggalakk­an pembinaan vesel baharu di limbungan tempatan melalui pemodenan vesel.

“Begitu banyak aduan diterima daripada nelayan dan melalui pemantauan pusat FISHCOM Jabatan Perikanan di Putrajaya, kita juga menyalurka­n maklumat jika ada vesel tempatan yang keluar dari perairan negara.

“Ia termasuk penceroboh­an vesel nelayan asing melalui sistem satelit dan Sistem Pengesanan Automatik (AIS) kepada APMM khususnya untuk tindakan penguatkua­saan,” katanya.

“Jabatan Perikanan turut melaksanak­an Sistem Pas Keluar Masuk Vesel Laut Dalam (SPVC2) di empat pangkalan utama di seluruh negara bagi memastikan vesel laut dalam mendaratka­n ikan di jeti tempatan.

“Sistem pembaharua­n lesen akan ditambah baik dengan penggunaan kad laporan bagi vesel laut dalam bagi memberi wajaran dan penalti ke atas prestasi pendaratan ikan, keaktifan alat MTU-VMS, ciri keaslian vesel serta bilangan kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Katanya, jika didapati ada dalam kalangan nelayan tempatan bersekongk­ol dengan aktiviti menyalahi Akta Perikanan 1985 ini, pihak jabatan akan mengambil tindakan tegas termasuk membatalka­n lesen nelayan terbabit.

“Statistik Jabatan Perikanan pada 2017 merekodkan sebanyak 433 kes vesel tempatan bertindak keluar dari perairan perikanan negara tanpa kebenaran.

“Sebanyak 259 kes atau 60 peratus kapal ini dikesan menuju ke Thailand, 168 kes (39 peratus) lagi ke Vietnam dan tiga kes (1 peratus) ke China dan Indonesia. Ini semua sudah diambil tindakan tegas oleh pihak jabatan.

“Tindakan tegas diambil adalah dengan melaksanak­an program pemutihan vesel laut dalam bagi memastikan lesen diberikan kepada pengusaha benar-benar tulen dan mematuhi undang-undang serta prosedur pelesenan ditetapkan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia