Harian Metro

Tukar sasaran ke perairan Sabah, Sarawak

-

Pasir Puteh: Penceroboh­an nelayan asing terutama warga Vietnam dilihat menumpukan sasaran ke perairan Sabah dan Sarawak selepas penguatkua­saan perairan di Kelantan semakin ketat.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, operasi Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) yang sering membuat tangkapan besar-besaran dan kerjasama dengan Polis Marin Thailand menyebabka­n nelayan warga Vietnam kini mengubah aktiviti tangkapan ikan ke dua negeri berkenaan.

Katanya, penceroboh­an ke atas perairan negara sangat serius kerana aktiviti tangkapan ikan di dalam perairan negara dilakukan hampir setiap hari.

“Kerakusan nelayan ini menangkap ikan dengan cara pukat tunda menyebabka­n perairan negara mereka sudah tidak ada lagi hasil laut.

“Ini menyebabka­n ratusan bot mereka terbiar dan mula mengaut hasil di perairan negara kita, malah sekarang sudah bergerak ke perairan

Sabah dan Sarawak selepas banyak aktiviti mereka terjejas dengan adanya Op Naga,” katanya ketika ditemui di pejabat Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia

(APMM), Tok Bali di sini, semalam.

Beliau berkata, nelayan Vietnam turut bergerak lebih jauh ke Indonesia, Fillipina, China dan Australia.

Katanya, penguatkua­saan pelbagai pihak harus diperketat memandangk­an nelayan asing seolah-olah tidak serik melakukan kesalahan kerana kompaun dan wang jaminan dikenakan mudah dibayar pemilik bot atau tauke mereka.

“Jika sabit kesalahan, bot akan disita namun tekong dan awak-awak akan dibebaskan dengan jaminan RM30,000 hingga

RM60,000 yang sanggup dibayar pemilik.

“Sejak awal tahun ini kita lihat aktiviti penceroboh­an nelayan asing dah semakin kurang di perairan Kelantan, ini hasil operasi yang dilaksanak­an,” katanya.

 ??  ?? HASIL tangkapan laut bernilai RM1.5 juta dirampas dalam operasi.
HASIL tangkapan laut bernilai RM1.5 juta dirampas dalam operasi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia