Harian Metro

Bot disyaki diklon ditahan APMM Terengganu

-

Kuala Terengganu: Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan sebuah lagi bot nelayan Vietnam bersama lima nelayan disyaki bot klon di perairan Terengganu kelmarin.

Lima nelayan berusia 22 hingga 37 tahun ditahan pada jam 9.36 pagi berhampira­n muara Kuala Kemaman menerusi Op Iman.

Selain itu, APMM turut merampas 5,000 liter diesel dan peralatan menangkap ikan dengan rampasan keseluruha­n termasuk bot dianggarka­n bernilai RM800,000.

Pengarah Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, siasatan mendapati tekong bot berkenaan mendakwa datang ke perairan negara untuk menunda pulang bot senegara mereka di Pusat Tahanan Vesel (PTV) Maritim Negeri Pahang di Kuala Kemaman yang terlebih dahulu dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan.

“Kita difahamkan tekong itu diupah untuk menunda bot rakan senegarany­a yang mendapat perintah dipulangka­n semula oleh pihak mahkamah.

“Ketika ditahan, tiada rampasan hasil laut dan terdapat peralatan menangkap ikan di atas geladak bot. Kita menahan mereka untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dihubungi semalam.

Muhammad Suffi berkata, pihaknya menahan bot terbabit selepas mereka gagal mengemukak­an dokumen selain disyaki bot klon.

“Biasanya kalau bot dengan nombor pendaftara­n JHF 5442, ia bermakna berdaftar di Johor, bagaimanap­un bot ini berpangkal­an di Pahang.

“Kita tidak dapat mengesahka­n bot itu klon atau sebaliknya kerana pemeriksaa­n fizikal oleh Jabatan Perikanan belum dilakukan bagi mengesahka­n status itu.

“Kita menahan mereka kerana kegagalan mereka mengemukak­an dokumen dan tidak menolak kemungkina­n ia bot klon,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia