Harian Metro

‘Hati tak tenang selagi belum terima tawaran’

-

Sepang: “Setiap kali mendengar laungan ‘Labaik Allahuma Labaik, labaik la sharika laka labaik, Innal hamda wann’imat laka wal mulk, la sharika lak’ hati saya jadi sebak.

“Sebelum pejamkan mata, saya berdoa supaya Allah makbulkan permintaan saya untuk menjejakka­n kaki ke Tanah Suci,” kata bakal haji, Meor Badi’auzzaman Khairuddin, 61, yang menghidap penyakit Parkison sejak empat tahun lalu.

Menurut pesara kerajaan itu, hatinya tidak tenang selagi belum menerima tawaran mengerjaka­n ibadah haji.

Dia pergi bersama isteri, Rosilawati Radzuan, 59, dan anak sulung mereka, Meor Muhammad Irfan, 27, buat kali pertama.

“Saya menggunaka­n pakej swasta kerana tidak sabar menyahut panggilan Ilahi.

“Saya tidak sihat kerana pernah mengalami angin ahmar menyebabka­n saya diserang Parkison pada 2015.

“Badan akan cepat letih kalau buat sesuatu kerja dan perlu banyak berehat,” katanya yang ditemui di Kompleks Tabung Haji (TH), semalam.

Mereka antara 483 jemaah menjadi tetamu Allah sempena Musim Haji 1440H/2019M.

Jemaah berkenaan berlepas menerusi penerbanga­n KT12 (XY5664) dari Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah, jam 2.30 petang semalam, dan dijangka tiba jam 6 petang (waktu Arab Saudi).

Meor Badi’auzzaman berkata, dia dan isteri mendaftar dengan TH sejak 2010, namun belum ada rezeki terpilih.

“Mungkin ada hikmah di sebaliknya yang kita tidak pasti. Sebagai hamba-Nya, saya menerima ketentuan qada dan qadar Allah yang memilih saya, isteri dan anak di antara jutaan umat Islam di seluruh dunia untuk menjadi tetamu Allah.

“Alhamdulil­lah, Allah mendengar rintihan hamba-Nya yang mahu menunaikan fardu haji sebelum saya menutup mata,” katanya.

Sementara itu, Rosilawati berkata, selepas lima kali membuat rayuan pakej haji swasta, barulah permohonan mereka berjaya terpilih tahun ini.

“Saya dan suami menggunaka­n wang pencen yang disimpan untuk mengerjaka­n Rukun Islam kelima,” katanya.

 ??  ?? MEOR Badi’auzzaman bersama isteri, Rosilawati dan Meor Muhammad Irfan di Kompleks Tabung Haji, Sepang.
MEOR Badi’auzzaman bersama isteri, Rosilawati dan Meor Muhammad Irfan di Kompleks Tabung Haji, Sepang.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia