Harian Metro

Ekosistem marin berdepan kepupusan

-

Kuala Lumpur: Vesel pukat tunda dan vesel pukat tunda ganding yang digunakan nelayan Vietnam secara haram di negara ini mengancam ekosistem marin dan hidupan laut di perairan Malaysia yang berdepan risiko kepupusan.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Fazrul Hisam Abd Aziz berkata, aktiviti penundaan pukat tunda dasar oleh nelayan asing menyebabka­n kemusnahan dasar dan ekosistem laut.

“Apabila mereka kaut, rantai pukat tunda tenggelam pada bahagian dasar kemudian menarik semua hidupan termasuk tumbuhan dan makanan hidup kepada ikan.

“Pukat digunakan mereka menarik habis semua dasar lautan sebab itu kita boleh lihat ekosistem marin termasuk batu karang semua musnah.

“Kena ingat batu karang berkait rapat dengan habitat ikan sebab kawasan itu tempat ikan ini membiak, jika ia musnah maka habitat ikan pun terjejas,” katanya.

Beliau berkata, kajian dilakukan bersama Pusat Pembanguna­n Perikanan Asia Tenggara (SEAFDEC) terhadap stok ikan pada 2015 masih stabil.

“Kajian itu fokus kepada tiga spesies ikan iaitu selar, cencaru dan kembung bagi melihat stok ikan di Semenanjun­g.

“Semasa kajian itu, saya melihat stok ikan besar lagi, tetapi sekarang dari tahun ke tahun melihat kepada saiz ikan yang berada di pasaran sekarang semakin mengecil kemungkina­n berlaku tekanan kepada stok ikan.

“Bahasa mudahnya jika dulu, kita pergi pasar sekilo boleh dapat ikan selar contohnya empat ekor tetapi sekarang agak sukar mungkin dalam lapan hingga 12 ekor baru boleh dapat sekilo,” katanya.

Katanya, nelayan asing dikesan menceroboh perairan negara ketika musim tengkujuh dengan tumpuan mereka di zon B dan C.

“Kebanyakan mereka datang pada musim tengkujuh kerana ketika itu nelayan kita tidak keluar.

“Maklumat saya peroleh dari nelayan tempatan juga mendakwa zon B dan C banyak diceroboh nelayan asing kerana mempunyai ikan matang,” katanya.

Mohd Fazrul berkata, Malaysia antara negara terbaik dalam pengawalan laut, namun memerlukan kerjasama semua pihak untuk menangani isu penceroboh­an.

Apabila mereka kaut, rantai pukat tunda tenggelam pada bahagian dasar kemudian menarik semua hidupan termasuk tumbuhan dan makanan hidup kepada ikan”

Dr Mohd Fazrul Hisam

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia