Harian Metro

Selangor juara Liga Hoki Piala Ketua Polis Negara-TNB

- Dziyaul Afnan Abdul Rahman bhnews@nstp.com.my

Kangar: Selangor muncul juara Liga Hoki Piala Ketua Polis Negara - TNB 2019 selepas membenam juara bertahan, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) 8-2 pada aksi final di Stadium Hoki Kangar, semalam.

Muhammad Rahimi Iskandar muncul wira Selangor apabila menyumbat empat daripada lapan gol Selangor pada perlawanan berkenaan.

Gol pertama Selangor muncul pada awal permainan menerusi Mohd Azmer Mohd Kamal sebelum PULAPOL menyamakan kedudukan pada minit ke-7 hasil pukulan sudut penalti yang disempurna­kan bekas pemain kebangsaan, Baljit Singh.

Selangor menggandak­an usaha dan berjaya menjarakka­n jurang selepas memperoleh gol kedua pada minit ke-9, 18 dan 40 dengan masing-masing dijaringka­n Mohd Azmer, Mohd Faizal Reza Mohd Nor dan Mohd Fuad Azis.

Selangor melengkapk­an kemenangan bergaya selepas Muhammad Rahimi meledak empat gol pada suku ketiga dan keempat perlawanan meskipun PULAPOL berjaya memperoleh gol kedua hasil jaringan Baljit.

Jurulatih Selangor, Mohd Zaki Hushariq berkata, persefaham­an tinggi antara pemainnya membuahkan hasil yang mendorong kemenangan berkenaan.

“Tahun lalu kami kecundang di suku akhir. Tahun ini kami berjaya muncul juara. Meskipun kehilangan beberapa tonggak, namun pemain muda yang menyertai pasukan kali ini bermain baik dan menyuntik semangat,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Sementara itu, dalam saingan Liga Divisyen Satu, Kelantan menewaskan Melaka 3-2.

Majlis penyampaia­n hadiah disempurna­kan Timbalan Pengarah Cawangan Khas 2 Bukit Aman, Datuk Rosly Abas dengan diiringi Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia