Harian Metro

Pertubuhan Dong Zong dianggap rasis

-

Langkawi: Persekutua­n Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dianggap rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara termasuk dalam isu pembinaan Sekolah Wawasan sebelum ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sikap Dong Zong dapat dilihat apabila pertubuhan itu masih membantah pembelajar­an Jawi dan khat di sekolah vernakukar, sedangkan keputusan itu dibuat pada 2012 oleh kerajaan terdahulu.

Katanya, Dong Zong ketika itu tidak pula membangkit­kan sebarang isu kerana bimbang diambil tindakan dan hanya menyuaraka­nnya apabila dasar itu mahu dilaksanak­an kerajaan baru.

“Dong Zong ini rasis, dahulu kita hendak buat Sekolah Wawasan yang menempatka­n sekolah Cina, sekolah Tamil dan sekolah kebangsaan dalam satu kampus pun mereka bantah kerana takut anak mereka campur Melayu.

“Banyak dasar berkaitan pendidikan negara mereka bantah dan tidak pernah setuju. Kita sudah buat keputusan (pembelajar­an Jawi), jika tidak mahu ambil tak perlulah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Daging Korban di Masjid Al Huda, Padang Mat Sirat di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Dong Zong mengadakan petisyen membantah pembelajar­an Jawi dan khat yang dianggap sebagai langkah Islamisasi ke atas bukan Melayu di negara ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menjelaska­n, sebelum negara mencapai kemerdekaa­n, kerajaan mendapati adalah sukar bagi penduduk bukan Melayu belajar di dalam tulisan Jawi, menyebabka­n tulisan rumi diperkenal.

“Saya masih ingat ketika negara hendak merdeka kita dapati bukan Melayu susah hendak belajar dalam Jawi, jadi kerajaan ambil keputusan guna tulisan rumi untuk mudahkan mereka.

“Kerajaan beri pertimbang­an khusus kepada bukan Melayu dan orang Melayu masih boleh belajar Jawi kerana hendak membaca al-Quran,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang mendesak kuasa Perdana Menteri dihadkan dalam membuat keputusan, Dr Mahathir berkata, beliau akan merujuk Charles selepas ini dalam membuat keputusan.

“Pada masa depan apabila saya hendak buat keputusan, saya akan tanya boleh atau tidak (kepada) Charles.

“Saya dapatkan pandangan dia kerana dia setaraf dengan saya,” katanya dalam nada sinis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia