SAH NORA ANNE

■ Keluarga sahkan mayat ditemui adalah Nora Anne

Harian Metro - - Muka Depan - Raja Noraina Raja Rahim dan Hasbi Sidek [email protected]

> Keluarga sahkan mayat yang ditemui dalam lurah di kawasan hutan Pantai, Negeri Sembilan semalam adalah Nora Anne Quoirin, 15. Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, keluarga remaja itu mengesahka­n identiti selepas membuat pengecaman mayat malam tadi, lapor Raja Noraina Raja Rahim dan Hasbi Sidek

Keluarga mengesahka­n mayat wanita yang ditemui di kawasan hutan di Pantai, tengah hari semalam adalah Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak 4 Ogos lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pengesahan itu diperoleh selepas keluarga membuat pengecaman mayat di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

“Keluarga dibawa untuk pengecaman mayat dan mereka mengesahka­n mayat itu adalah Nora Anne.

“Proses bedah siasat akan dijalankan oleh Patologi Kanan dari Hospital Kuala Lumpur

(HKL) pada 10 pagi esok (hari ini),” katanya pada sidang media di Unit Forensik HTJS di sini, malam tadi.

Bagaimanap­un Mohamad berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi mangsa dilaporkan hilang masih diteruskan sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.

“Operasi SAR tidak berhenti lagi untuk kita jalankan siasatan lanjut. Kita tunggu keputusan bedah siasat (sahkan mayat Nora),” katanya.

Terdahulu, ahli keluarga remaja itu dilihat hadir di Unit Forensik HTJS untuk membuat proses pengecaman mayat.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh serta Pengerusi Jawatankua­sa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri, Nicole Tan Lee Koon.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, mayat berkenaan ditemui pada 1.57 tengah hari oleh sekumpulan pendaki yang turut menyertai operasi dan menyelamat (SAR) berkenaan.

“Mayat tanpa pakaian itu ditemui berhampira­n anak sungai di kawasan lurah kira-kira 2 kilometer dari resort tempat remaja itu dan keluarga menginap.

“Sebaik kumpulan pendaki berkenaan melaporkan penemuan kepada polis, unit forensik dihantar ke lokasi bersama pasukan patologi dari Hospital Tuanku Jaafar (HTJ),” katanya pada sidang di sini, semalam.

Mazlan berkata, kawasan mayat ditemui termasuk dalam liputan kawasan pencarian pasukan SAR sebelum ini.

“Mayat dibawa ke HTJ menggunaka­n helikopter memandangk­an kawasan adalah lurah sedalam kira-kira 1.2 kilometer,” katanya.

Ditanya mengenai sebarang kecederaan pada mayat, Mazlan berkata, pihaknya akan menunggu laporan bedah siasat terlebih dahulu.

Semalam adalah hari ke-10 operasi SAR Nora Anne sejak gadis itu dilaporkan hilang daripada sebuah resort di Pantai, Seremban pada 4 Ogos lalu.

Nasib remaja itu terus menimbulka­n tanda tanya bukan saja dalam kalangan masyarakat, bahkan juga kepada pengamal media tempatan dan antarabang­sa yang berkampung di lokasi kejadian sejak hari pertama Nora Anne dilaporkan hilang.

Operasi mengesan Nora Anne membabitka­n 353 anggota terdiri daripada pelbagai agensi

Nora Anne disedari hilang daripada bilik penginapan­nya di sebuah resort di Pantai oleh keluargany­a pada 8 pagi.

Remaja yang mengalami masalah pembelajar­an itu tiba bersama keluargany­a di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

Kelmarin, ibu remaja istimewa itu, Meabh Jaseprine Quoirin, 46, menawarkan wang ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga anaknya itu ditemui.

Polis dari England, Ireland dan Perancis membantu polis Malaysia melakukan siasatan berhubung kehilangan remaja itu.

“Keluarga dibawa untuk pengecaman mayat dan mereka mengesahka­n mayat itu adalah Nora Anne.

Proses bedah siasat akan dijalankan oleh Patologi Kanan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 10 pagi esok (hari ini)”

Mohamad

AHLI keluarga Nora Anne tiba di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk membuat pengecaman mayat, semalam. MAYAT yang ditemui di lokasi pencarian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban, semalam.

HELIKOPTER digunakan untuk membawa mayat dipercayai Nora Anne.

KENDERAAN anggota forensik polis tiba di lokasi pencarian.

POSTER wajah Nora Anne ditampal di sekitar kawasan Pantai.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.