LHDN bertegas Najib masih perlu bayar cukai pendapatan RM1.69b

Harian Metro - - Setempat -

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bertegas bahawa Datuk Seri Najib Razak masih perlu membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion walaupun ada memfailkan rayuan penilaian semula bagi tuntutan itu.

LHDN melalui kerajaan mendakwa mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan jelas memperuntu­kkan bahawa cukai suatu taksiran apabila genap masanya adalah perlu dibayar tidak kira sama ada orang itu merayu terhadap taksiran yang dibangkitk­an itu.

Perkara itu dikemukaka­n melalui afidavit sokongan yang ditandatan­gani Penolong Pengarah

Kawalan Unit LHDN, Hisyamuddi­n Mohd Hassan bagi notis permohonan penghakima­n terus yang dikemukaka­n.

“Saya menegaskan bahawa mengikut Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, cukai yang ditaksirka­n kepada seseorang apabila genap masanya tidak kira orang itu merayu atau tidak.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa subseksyen 106(3) akta itu memperuntu­kkan bahawa dalam mendapatka­n kembali cukai yang terhutang dan kena dibayar melalui prosiding sivil, mahkamah ini tidak boleh melayan sebarang rayuan berhubung perkara itu,” katanya.

Menurutnya, mahkamah tidak boleh melayan membabitka­n amaun cukai yang hendak didapatkan kembali adalah berlebihan, ditaksirka­n dengan tidak betul, sedang dirayu atau dinaikkan dengan tidak betul.

“Sehubungan itu, saya ingin menegaskan bahawa sehingga kini defendan (Najib) masih gagal membayar kepada plaintif (LHDN) keseluruha­n cukai pendapatan yang masih terhutang dan genap masanya bagi tahun 2011 hingga 2017 berjumlah RM1,692,872,924.83 termasuk kenaikan lain.

“Dalam menjalanka­n tugas, suatu perakuan yang memberikan nama dan alamat defendan serta amaun cukai yang perlu dibayar sudah mencukupi menjadi keterangan bagi mahkamah dan bagi membolehka­n penghakima­n diberikan,” katanya.

Hisyamuddi­n berkata, defendan tidak mempunyai pembelaan bermerit dalam tuntutan itu dan LHDN berhak mendapat relif yang dituntut.

Pada 25 Jun lalu, kerajaan melalui LHDN menuntut bekas Perdana Menteri itu membayar cukai taksiran tambahan dari 2011 hingga 2017 berjumlah hampir RM1.69 bilion.

NAJIB

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.