Keutamaan solat di saf hadapan

Harian Metro - - Addin -

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “…oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjaka­n kebaikan kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan), sesungguhn­ya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Dalam ayat itu, Allah SWT memerintah­kan hamba-Nya supaya berlumba-lumba melakukan kebaikan secepat mungkin tanpa menundanya.

Amalan berlumbalu­mba melaksanak­an amal kebaikan itu menjadi cara hidup yang diamalkan sahabat Nabi SAW hasil daripada didikan Baginda.

Semua sahabat Nabi SAW melakukan kebaikan. Namun, itu masih tidak cukup kerana sasaran mereka adalah untuk menjadi individu paling cepat dan awal melakukan sesuatu kebaikan.

Pernah pada waktu subuh, Rasulullah SAW bertanya kepada sahabatnya, siapa pada hari itu sudah bersedekah, siapa melakukan kebaikan kepada orang lain dan siapa yang sudah melakukan amal mendekatka­n diri kepada Allah.

Lalu Saidina Umar berkata, setiap kali Rasulullah SAW bertanya soalan kebaikan itu, aku menjenguk Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Saidina Abu Bakar akan angkat tangan.

Maka, dalam setiap ibadat dan amal kebaikan, kita perlu sentiasa menanamkan azam untuk menjadi orang yang awal melaksanak­annya.

Dalam ibadat solat misalnya, apabila masuk sahaja waktu, maka kita perlu bersama-sama melaksanak­annya terlebih dahulu dengan meninggalk­an urusan dunia buat seketika dan jauhi amalan melewatkan solat itu sehingga sudah hampir luput waktunya.

Selain itu, mungkin kita merasakan hal mendapatka­n saf pertama di masjid atau surau itu sesuatu yang remeh, kecil dan tidak penting.

Barangkali kita ada pengalaman mempersila­kan jemaah lain maju ke hadapan untuk mengisi saf pertama yang kosong.

Apa yang paling utama dilakukan dalam keadaan sedemikian adalah kita sendiri perlu melangkah ke saf pertama itu bagi mengisi ruang kosong berkenaan, bukannya saling mempersila­kan.

Solat di saf pertama mempunyai begitu banyak kelebihan. Antaranya seperti yang dinyatakan dalam satu riwayat daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sekiranya manusia mengetahui apa (kebaikan) yang terdapat pada azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak mendapati cara untuk mendapatka­n ia melainkan dengan mencabut undi, pasti mereka akan mencabut undi.” (Riwayat Al-Bukhari)

Berdasarka­n hadis itu, sekiranya seseorang mempunyai ilmu betapa besarnya ganjaran dan fadilat solat di saf pertama, sudah pasti dia akan berebut-rebut mengambil peluang itu.

Sehinggaka­n, jika tiada cara lain, mereka pasti akan mencabut undi bagi menentukan siapa yang dapat mengisi saf pertama.

Satu perkongsia­n daripada Al-Kafi Li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutua­n menyatakan, ada beberapa kelebihan saf pertama serta keutamaan solat di dalamnya.

Pertama, Allah SWT dan malaikat berselawat kepada jemaah yang berada di saf pertama. Ia berdasarka­n satu riwayat daripada Abd al-Rahman bin ‘Auf, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhn­ya Allah dan para malaikatny­a berselawat ke atas saf yang pertama.” (Riwayat Ibn Majah)

Kedua, ia adalah saf terbaik bagi orang lelaki. Hal itu merujuk kepada hadis yang diriwayatk­an Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik saf orang lelaki adalah saf yang terawal dan seburuk-buruk saf orang lelaki adalah yang paling belakang manakala sebaik-baik saf orang perempuan adalah saf yang terakhir manakala seburuk-buruk saf orang perempuan adalah yang paling hadapan.” (Riwayat Muslim)

Saf pertama menjadikan seorang itu sebagai manusia yang hampir dengan kedudukan imam selain dia dapat mendengar dengan jelas bacaan imam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.