Skuad wanita dituntut pamer aksi terbaik

Harian Metro - - Arena - Meor Riduwan Meor Ahmad [email protected]

Kuala Lumpur: Skuad negara dituntut memperagak­an persembaha­n terbaik apabila berdepan Filipina pada aksi pertama Kejuaraan Wanita AFF 2019 di Chonburi, Thailand, esok bagi mencerahka­n peluang mara sekurang-kurangnya ke suku akhir.

Ketua jurulatih, Jacob Joseph berkata, sasaran itu bukan mustahil dicapai apatah lagi skuad negara kini diperkuat gabungan pemain senior dan bawah 19 tahun (B-19).

Katanya, meskipun pasukan lawan membariska­n ramai pemain baharu dari Amerika Syarikat (AS), beliau tetap yakin kemampuan anak buahnya hasil latihan pusat hampir sebulan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut bermula 15 Julai lalu.

“Saya cukup yakin melihat pemain mempamer semangat dan disiplin tinggi dalam latihan. Mereka juga bertekad untuk cemerlang di kejohanan kali ini. Sudah lama kami tidak mara ke separuh akhir iaitu kira-kira 12 tahun lalu, tapi dalam Sukan SEA kita berjaya melakukann­ya iaitu pada 2013,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama juara empat kali, Thailand selain Singapura, Filipina dan Timor Leste manakala juara dua kali, Vietnam dan Myanmar pula diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Indonesia dan Kemboja.

Jacob berkata, aksi di kejohanan itu juga ibarat misi hidup mati skuad wanita dalam mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk layak mewakili negara ke Sukan SEA.

“Ini cabaran bagi saya, tapi saya yakin skuad negara mampu ke separuh akhir. Untuk perlawanan pertama menentang Filipina, walaupun kita tewas pada Sukan SEA 2017, kali ini saya berharap kita mampu mengalahka­n mereka.

“Saya mengikuti perkembang­an skuad Filipina sejak setahun lalu. Mereka ambil ramai pemain baharu iaitu 12 pemain dari AS dan seorang dari Australia. Mereka berjaya mara ke pusingan kedua kelayakan Olimpik.

“Mereka menewaskan Macau 11-0 minggu lalu dan berlatih dua bulan untuk kejohanan ini. Walaupun kami berlatih 26 hari, pemain mempamer semangat juang tinggi sejak kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah,” katanya yang berlepas ke Thailand, semalam.

PEMAIN wanita negara akan bertemu Filipina esok.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.