Harian Metro

Tak mengaku tipu pengurus RM32,730

-

Kuala Lumpur: Seorang buruh kontrak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap pertuduhan menipu seorang pengurus berhubung pakej umrah Februari lalu.

Tertuduh Muhammad Aqip Mohd Azman, 27, yang memakai baju kemeja corak kotak berseluar jean membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rahni Kartini Abd Rahim.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya dan dengan curangnya menyebabka­n mangsa berusia 38 tahun menyerahka­n wang bernilai RM32,730 di mana dia tidak akan menyerahka­nnya sekiranya tidak diperdayak­an sedemikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di No 6 Jalan Wira 7, Taman Maluri, Cheras di sini, pada 11 Februari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tidak kurang setahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda.

Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatin Mohamad Farid menawarkan ikat jamin RM35,000 terhadap tertuduh, bagaimanap­un peguam tertuduh Azman Abdullah dalam rayuannya mengatakan jaminan itu terlalu tinggi.

Azman berkata, anak guamnya bekerja sebagai buruh kasar berpendapa­tan RM1,800 sebulan dengan tempat tinggal disediakan majikan.

“Anak guam saya mempunyai seorang isteri tidak bekerja selain sakit dan tinggal di kampung serta menanggung ayah sudah tua berusia 62 tahun dan ibu pula berusia 52 tahun,” katanya.

Mahkamah kemudian mengarahka­n tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Oktober depan untuk tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh dibawa di mahkamah diiringi Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju Inspektor Kumaran Krishnan selepas ditangkap jam 7 pagi semalam di IPD itu.

 ??  ?? MUHAMMAD Aqip diiringi anggota polis di mahkamah, semalam.
MUHAMMAD Aqip diiringi anggota polis di mahkamah, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia