Harian Metro

Usah promosi modifikasi motor Ysuku

-

Prai: “Saya beri amaran kepada semua pihak sama ada individu atau artis, hentikan aktiviti mempromosi kegiatan lumba dan modifikasi motosikal secara haram atau berdepan tindakan.”

Demikian amaran Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkua­saan Trafik, Datuk Azisman Alias mengenai tindakan segelintir pihak mempromosi­kan aktiviti modifikasi motosikal secara haram terutama daripada jenis Yamaha Y15ZR yang dilihat semakin menjadi-jadi.

Beliau berkata, aktiviti ini dikesan memberi dorongan kepada pengguna motosikal terutama remaja untuk menguah suai kenderaan mereka dan terbabit dalam aktiviti tidak sihat seperti lumba haram.

“Saya sendiri ada terdengar mengenai kumpulan dan artis yang mempunyai laman sosial sendiri bagi menyiarkan video mengenai modifikasi haram yang dilakukan mereka terutama motosikal daripada jenis Y15ZR yang lebih dikenali sebagai Ysuku itu.

“Kami memantau aktiviti kumpulan motosikal sebegini dan akan mengambil tindakan bila-bila masa jika mempunyai maklumat dan bukti mencukupi,” katanya pada sidang media di Flex Pulau Pinang.

Menurutnya, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya pihak berkaitan tidak mematuhi peraturan, tanpa mengira latar belakang mereka.

Bagi tujuan itu, unit khas Skuad 42 polis yang memerangi kumpulan mat rempit itu akan menjalanka­n siasatan dan mengumpul bukti bagi memberkas mereka yang terbabit dalam gejala mempromosi aktiviti tidak sihat.

“Memang diakui mereka berani mempromosi­kan aktiviti tidak sihat ini. Kami faham ia bertujuan menambah pendapatan melalui bayaran iklan namun jangan terlalu obses sehingga membelakan­gi undang-undang,” katanya.

Menurutnya, dilihat situasi terkini, kemalangan motosikal banyak membabitka­n penunggang motosikal dengan punca kemalangan akibat kegagalan mengawal kenderaan masing-masing.

“Kebanyakan pengguna motosikal Ysuku ini menunggang macam orang tiga suku dan langsung tidak mempedulik­an peraturan jalan terutama had laju jalan.

“Bagi mereka semua jalan merupakan trek perlumbaan dan menunggang pada kelajuan yang tidak munasabah,”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia