Harian Metro

Budak 3 tahun digigit biawak terima 30 jahitan

-

‘ Saya difahamkan biawak sebelum ini masuk dalam chalet itu untuk mencari anak kucing”

Rozidan

Kuantan: “Aliq (Faliq Iman) tak suka biawak..biawak jahat.” Itu ayat yang sering keluar dari mulut Faliq Iman Mohd Fadhirul Izwan, 3, selepas insiden kanak-kanak itu diserang biawak di sebuah chalet di Kampung Salang, Pulau Tioman, kelmarin.

Bapa mangsa, Mohd Fadhirul Izwan Mat Saridan, 34, berkata, emosi anak tunggalnya itu dilihat sedikit terganggu dan sering mengelak untuk bercerita mengenai kejadian berkenaan.

Katanya, selepas dirujuk ke hospital swasta di bandar ini, Faliq Iman menjalani pembedahan kecil dan menerima 30 jahitan pada kakinya.

“Doktor memaklumka­n ada jangkitan kuman pada kesan gigitan itu namun ia sudah dicuci dan Faliq diberi antibiotik bagi mengelak kuman merebak.

“Doktor akan memantau keadaannya dalam tempoh dua (atau) tiga hari ini. Jika tiada apa-apa mungkin dia dibenarkan pulang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fadhirul Izwan berharap pihak Jabatan Perlindung­an Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak kejadian itu berulang.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, Faliq Iman cedera di kaki kanannya selepas digigit reptilia itu ketika berada di bawah kaunter pendaftara­n chalet berkenaan.

Bapa mangsa yang mendengar tangisan memijak biawak itu sebanyak dua kali sebelum reptilia itu melepaskan gigitannya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, biawak tidak menganggap kanak-kanak lelaki itu sebagai makanannya sebaliknya merasakan dia sebagai ancaman atau halangan kepada reptilia itu.

“Saya difahamkan biawak sebelum ini masuk dalam chalet itu untuk mencari anak kucing, mungkin reptilia itu berasakan mangsa sebagai halangan sebelum mengigitny­a.

“Kami akan lebih kerap melakukan operasi atau kawalan populasi reptila itu di pulau peranginan berkenaan bagi mengelak kejadian itu berulang,” katanya.

 ??  ?? KEADAAN kaki Faliq Iman yang cedera digigit biawak di sebuah chalet di Pulau Tioman.
KEADAAN kaki Faliq Iman yang cedera digigit biawak di sebuah chalet di Pulau Tioman.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia