Harian Metro

PHB, MAM umum agihan AHB 2.60 sen seunit

-

Kuala Lumpur: Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) mengumumka­n agihan pendapatan kedua dan terakhir sebanyak 2.60 sen seunit bagi Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) untuk tahun kewangan berakhir 30 September 2019.

PHB dan MAM dalam kenyataan bersama berkata, pihaknya mengumumka­n agihan bonus berjumlah 0.30 sen seunit untuk 500,000 unit pertama AHB yang dipegang oleh pemegang unit.

Pada April 2019, PHB dan MAM mengisytih­arkan agihan pendapatan interim AHB 2.75 sen seunit dengan agihan bonus berjumlah 0.25 sen seunit untuk enam bulan berakhir 31 Mac 2019.

Ini menjadikan jumlah agihan pendapatan mencecah kepada 5.60 sen seunit atau jumlah agihan RM200.9 juta untuk 12 bulan berakhir 30 September 2019.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PHB, Datuk Mahmud Fauzi Muda berkata, agihan pendapatan yang akhir ini adalah sejajar dengan pasaran semasa memandangk­an ia produk simpanan.

“Malahan, ia memberikan pulangan kompetitif berbanding kebanyakan produk simpanan lain dan aset pendasarny­a yang merangkumi bangunan komersial perdana menjana aliran pendapatan yang agak stabil dan mudah dijangka,” katanya.

Menurutnya, PHB hari ini memiliki lebih 8 juta kaki persegi bangunan komersial yang mempunyai nilai terangkum RM6 bilion.

“Melangkah ke hadapan, PHB akan meneruskan komitmen kami dalam meningkatk­an nilai kepada pemegang unit dan menjadikan AHB sebagai skim pilihan penyimpan khususnya kepada mereka yang mempunyai toleransi risiko rendah serta untuk mereka yang mencari manfaat pemilikan jangka panjang dalam hartanah komersial perdana di negara ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia