Harian Metro

5 suspek tembak gajah dibebas dengan jaminan

-

Tawau: Lima daripada enam suspek yang disyaki terbabit dalam pembunuhan seekor gajah Pygmy di hulu Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, dekat sini, baru-baru ini, dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superinten­dan Nor Azizulkifl­i Mansor berkata, seorang lagi, iaitu warga asing tanpa dokumen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini bagi pertuduhan di bawah Seskyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

“Lima orang yang dibebaskan dengan jaminan ini akan terus diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) bagi membolehka­n mereka menyiapkan kertas siasatan,” katanya, di sini, semalam.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, tertuduh yang dikenali sebagai Osman Ghafar, 48, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memasuki negara ini secara haram.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Amir Shah Amir Hassan, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Sesyen.

Mengikut kertas pertuduhan, Osman yang bukan warganegar­a Malaysia didakwa memasuki negara ini tanpa memiliki sebarang dokumen yang sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di dalam kawasan Felda Umas-Umas, Kalabakan pada 2 Oktober 2019, jam 1.30 pagi.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Pertuduhan dikendalik­an pegawai pendakwa Asisten Superinten­dan Dayang Azrinawaty Awang Kachee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim kemudian menetapkan 22 Oktober depan untuk pengurusan kes.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia