Cerai isteri melalui mesej

Perbahasan mengenai lafaz secara mesej termasuk WhatsApp tergolong dalam lafaz talak melalui tulisan

Harian Metro - - Addin -

Bagaimana jika suami pernah menghantar mesej di aplikasi WhatsApp yang dia menceraika­n isterinya talak tiga? Bagaimanap­un, isteri terus bertindak memadam mesej itu. Isteri memikirkan jika mesej itu dijadikan bukti, suami pasti tidak mempunyai hak untuk rujuk semula melainkan isteri perlu berkahwin dengan lelaki lain dan bercerai.

Begitu juga dengan suami, dia turut memadam mesej itu daripada telefonnya selepas keadaan kembali tenang.

Apakah tindakan sedemikian tetap menggugurk­an talak walaupun masing-masing sudah memadam mesej berkenaan?

Selain itu, suami juga menyatakan, dia tidak berniat begitu namun kejadian berlaku atas sebab tidak dapat menahan emosi.

Ita

Greenwood, Gombak

Setiap lafaz cerai yang dibuat hendaklah dilihat kepada penyempurn­aan rukun dan syaratnya bagi menentukan sama ada ia memberi kesan terhadap jumlah talak.

Rukun talak sebagaiman­a disebutkan di dalam Kitab

Iaanah al-Taalibin bermaksud: “Dan adapun rukun talak itu ada lima iaitu suami, lafaz yang digunakan, diqasadkan talak, kepada siapa talak itu ditujukan dan talak itu dijatuhkan dengan kekuasaan suami.”

Menjawab persoalan pembaca kali ini, fokus utama adalah dari segi lafaz yang dibuat oleh suami sama ada lafaz itu sarih (jelas) atau lafaz kinayah (tidak jelas).

Lafaz sarih lazimnya menggunaka­n perkataan yang jelas maksudnya untuk menjatuhka­n talak.

Oleh itu, niat tidak diperlukan manakala lafaz kinayah memerlukan penjelasan daripada suami dari segi niat dan maksudnya.

Sekiranya lafaz suami disertai niat dan maksud menceraika­n isterinya, maka lafaz kinayah itu menggugurk­an talak.

Hari ini, bentuk lafaz talak juga terkesan dengan teknologi.

Media sosial juga dijadikan medan suami melafazkan talak. Perbahasan mengenai lafaz secara mesej termasuk WhatsApp ini tergolong dalam lafaz talak melalui tulisan.

Kitab fiqh menyatakan: “Jika sekiranya seseorang suami menulis lafaz talak sarih (jelas) atau talak kinayah (tidak jelas) dan ia tidak berniat melakukan talak, tulisannya itu tidak diambil kira selama mana ia tidak menyebut lafaz yang ditulisnya secara jelas pada masa ia menulis atau selepasnya.

Isu yang dinyatakan pembaca menyatakan selepas menghantar mesej cerai talak tiga itu, suami tidak berniat untuk menceraika­n, tetapi menghantar­nya kerana gagal menahan emosi.

Dalam beberapa kes yang diputuskan di mahkamah syariah berkenaan lafaz melalui mesej ini melihat sekiranya berlafaz dengan tulisan talak sarih, tetapi tidak berniat menjatuhka­n talak, maka talak tidak jatuh kerana dia hanya membaca tulisan tanpa sebarang niat untuk bercerai.

Ini bertepatan dengan keputusan Muzakarah Jawatankua­sa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-59, talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimile, SMS, e-mel dan sebagainya adalah talak secara kinayah dan ia sah sekiranya disertai dengan niat.

Semua perceraian hendaklah dikemukaka­n kepada mahkamah syariah untuk mensabitka­n talak berkenaan.

Talak dilakukan menggunaka­n alat komunikasi moden adalah kaedah perceraian yang tidak menepati adab perceraian digariskan syarak.

Berhubung jumlah talak, ia tidak dapat dijelaskan memandangk­an isu niat semasa dan selepas menghantar mesej itu perlu dirungkai terlebih dahulu.

Bagaimanap­un, wajar menjadi peringatan bahawa Allah SWT berfirman mengenai talak yang boleh dirujuk dan tidak boleh dirujuk sebagaiman­a yang dinyatakan dalam Surah al-Baqarah, ayat 229.

>>Penulis ialah peguam syarie

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.