Harian Metro

Tak lupa detik gemilang

Dr Siti Hasmah kongsi kisah, pengalaman ketika menjadi penaung BAM

- Oleh Ferzalfie Fauzi ferzalfie@hmetro.com.my

Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali jelas masih lagi tidak dapat melupakan detik kegemilang­an badminton negara ketika Malaysia muncul juara Piala Thomas 1992 dan sebak selepas melihat kebanyakan bekas pemain berkumpul di Majlis Pelancaran Juara Tangkis: Tun Dr Siti Hasmah semalam.

Antara detik tegang yang masih segar dalam ingatannya ialah pertelingk­ahan antara dua jaguh beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit dan Soo Beng Kiang.

Isteri Perdana Menteri itu mengakui terpaksa menjadi orang tengah bagi menyelesai­kan perselisih­an faham itu sebelum kedua-duanya berjaya memberikan persembaha­n terbaik untuk membantu Malaysia juara.

Menurutnya, jalan terbaik ialah beliau sendiri berjumpa dengan Soon Kit dalam usaha untuk menyelesai­kan masalah berkenaan.

“Saya terpaksa berjumpa dengan Soon Kit dan mengatakan kepadanya ‘Soon Kit, kamu tidak akan mendapat pasangan lain selain daripada Beng Kiang’,” katanya dalam ucapan semalam.

Dr Siti Hasmah juga menyayangi semua pemain ketika itu yang menghormat­i dan menganggap­nya sebagai ibu.

“Saya tidak akan melupakan detik manis Malaysia muncul juara ketika itu. Ramai orang bertanya kepada saya apa yang perlu dilakukan ketika saya menjadi penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan saya menjawab saya tidak melakukan apa-apa. Aspek teknikal saya serahkan kepada jurulatih serta pemain dan tanggungja­wab saya adalah menjadi ibu kepada mereka semua.

“Pemain yang mahu jadi juara dalam badminton, pertama sekali mereka ada hati dan minat. Selepas itu, perlu bekerja keras, mendengar arahan jurulatih dan berdisipli­n,” katanya yang memberitah­u beliau ‘bersara’ daripada bermain badminton pada usia 75 tahun kerana mengalami kecederaan bahu.

Pada aksi final Piala Thomas 1992, skuad badminton negara merekodkan gelaran kelima apabila muncul juara dengan menewaskan Indonesia 3-2 di Stadium Negara.

Soon Kit-Beng Kiang turut menyumbang­kan mata kepada pasukan apabila menewaskan pasangan Ricky Subagja-Rexy Mainaky dalam perlawanan tiga set 15-12, 10-15, 15-8.

Dalam pada itu, Soon Kit secara berseloroh berkata, ia sejarah lama tetapi mengakui memang berlaku perselisih­an faham dengan Beng Kiang disebabkan tekanan mereka sebagai pemain.

Malaysia muncul juara Piala Thomas

1992

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia