Harian Metro

Wiranto cedera ditikam

Seorang lelaki, wanita bersenjata pisau, gunting ditahan dalam kejadian di Banten

-

Menteri Politik, Undang-Undang dan Keselamata­n Indonesia, Wiranto cedera akibat ditikam dalam serangan seorang lelaki dan wanita ketika membuat lawatan di Banten, dekat sini, semalam.

Kejadian berlaku ketika Wiranto turun dari kenderaan untuk menaiki helikopter selepas menghadiri satu majlis di Universiti Mathlaul Anwar di Pandeglang.

Media Indonesia melaporkan, dalam rakaman video kejadian itu, Wiranto dilihat bersalaman dengan ketua polis Pandeglang sebelum seorang lelaki tiba-tiba menyerbu dari depan lalu menikamnya.

Selain itu, seorang wanita juga menyerbu dari belakang namun sempat dihalang dan ditahan polis.

Dua pengawal peribadi Wiranto turut cedera ketika bergelut dengan suspek.

Wiranto dilapor mengalami dua luka akibat tikaman dengan satu daripadany­a agak dalam.

Reuters melaporkan, Wiranto dilihat jatuh terduduk di sebelah kereta sebelum dipapah bangun dan diusung ke dalam kenderaan untuk dihantar ke hospital berdekatan sebelum diterbangk­an ke Jakarta untuk rawatan lanjut.

Pengarah Hospital Berkah, Firmansyah berkata, bekas jeneral itu mengalami dua luka di perut

Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo yang melawat Wiranto di hospital tentera di Jakarta, petang semalam berkata, menteri itu menjalani pembedahan selama dua jam.

Polis menahan lelaki serta wanita terbabit dan merampas senjata tajam daripada mereka, termasuk pisau dan gunting.

Ketua Polis Banten, Tomsi Tohir berkata, kejadian berlaku ketika Wiranto bersalaman dengan orang ramai yang beratur sama ada untuk bersalaman atau bergambar dengannya.

Ketua Polis Negara, Dedi Prasetyo berkata, buat masa ini, suspek ditahan di Banten dan lelaki itu dipercayai pengikut Daish manakala latar belakang penyerang wanita masih disiasat.

Wiranto, 72, menjadi menteri dalam Kabinet Jokowi sejak 2016.

 ??  ?? WIRANTO diusung ke dalam kenderaan untuk dihantar ke hospital. - Reuters
WIRANTO diusung ke dalam kenderaan untuk dihantar ke hospital. - Reuters
 ??  ?? SUSPEK lelaki dan wanita yang ditahan. - Agensi
SUSPEK lelaki dan wanita yang ditahan. - Agensi
 ??  ?? WIRANTO
WIRANTO

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia